Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Papua New Guinea pada jendela FIFA bulan Jun ini selepas lawan sebelumnya, Yemen mengambil keputusan untuk menarik diri.
Baca Juga:
- Malaysia Bakal Berdepan Solomon Islands Dan Yemen
- Kehadiran Kim Pan Gon Tingkatkan Semangat Pemain Malaysia B-22
- Kim Pan Gon ‘Berguru’ Dengan Moyes
Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman media sosial rasmi badan itu dimana Persatuan Bola Sepak Yemen (YFA) memberi alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad B-23 negara berkenaan ke West Asian Championship di Iraq.
“Pembatalan saat akhir daripada pihak YFA ini sekaligus memaksa FAM perlu mencari segera pasukan pengganti sesuai dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing pada kalendar FIFA kali ini.
“Selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa, 20 Jun 2023.
“Terdahulu skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon bagi satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu, 14 Jun 2023,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.
Sebagai rekod, Yemen berada di kedudukan ranking ke-157 dunia manakala Papua New Guinea pula ke-159 dunia, berbanding skuad Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-138 dunia.
Perlawanan menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea ini dijadikan sebagai medan untuk mempersiapkan pasukan yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024 nanti.