Saingan Pestabola Merdeka pada tahun ini kemungkinan akan berlangsung tanpa kelibat pasukan di ranking 96 dunia, Palestin atau pasukan ranking 100 dunia, Lubnan.

Ini kerana kedua-dua pasukan tersebut diundi dalam satu kumpulan yang sama untuk Kelayakan Piala Dunia 2026 dan tidak boleh bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Menurut laporan New Straits Times,  Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum terima surat penarikan diri daripada kedua-dua pasukan tersebut dan kemungkinan bakal digantikan dengan pasukan lain.

“Kami sedar Palestin dan Lubnan diundi dalam kumpulan yang sama Kelayakan Piala Dunia.

“Namun, kami belum terima sebarang pengesahan mengenai penarikan diri pasukan tersebut daripada Pestabola Merdeka,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman seperti dipetik dalam NST.

Setakat ini, hanya India sahaja mengesahkan penyertaan mereka dalam Pestabola Merdeka yang bakal diadakan pada 9 sehingga 17 Oktober iaitu ketika kalendar perlawanan antarabangsa FIFA selepas tamatnya saingan Piala Malaysia 2023.

Semua perlawanan Pestabola Merdeka akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang ketika ini dalam proses penukaran rumput jenis Zeon Zoysia.

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada hari esok (Isnin) untuk membincangkan mengenai kemungkinan penarikan diri Palestin dan Lebanon daripada Pestabola Merdeka.

“Kami akan maklumkan jika ada sebarang perubahan. Mesyuarat pada hari isnin akan membincangkan segala kemungkinan.

“Kami hanya mahu pasukan yang berada di ranking 100 ke atas beraksi dalam saingan Pestabola Merdeka. Ada pasukan lain yang berminat sebelum tiga negara itu mengesahkan penyertaan,” kata Firdaus dalam NST.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.