Skuad Tok Gajah melakar kejutan apabila mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal. Kemenangan 1-0 ke atas Sabah di Stadium Darul Makmur semalam bermakna Pahang dinobatkan sebagai juara kumpulan C selepas mengumpulkan 12 mata maksimum tanpa kalah.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Dollah Salleh itu turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang dilanda kecederaan iaitu Muslim Ahmad dan Mohamadou Sumareh manakala pemain import dari Singapura, Safuwan Baharuddin menjalani hukuman penggantungan.

69821182_2513922792001733_5370509059189374976_n
FOTO: PAHANG FA

Bagaimanapun, Sabah yang masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam kempen Piala Malaysia musim ini berjaya memberi tentangan sengit kepada tuan rumah dan hampir membuka akaun jaringan melalui Aguinaldo namun gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan.

Tersentak dengan percubaan itu, tok gajah terus mengandakan asakan menerusi gandingan serangan Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi tetapi mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan serta dibantu oleh ketangkasan penjaga gol skuad Jelius Ating. Keputusan 0-0 kekal hingga separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah bermula dengan garang apabila melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol pelawat. Pada minit ke 58, stadium darul makmur digegarkan dengan sorakan penyokong Pahang selepas Dickson Nwakaeme menguis masuk tandukan Matthew Davies dalam situasi kelam-kabut lalu menjadikan kedudukan kepada 1-0.

Pahang juga sepatutnya melebarkan kedudukan dua minit kemudian tetapi umpanan Nor Azam Azih gagal disambar rakan sepasukan. Dalam 10 minit terakhir, anak buah Dollah Salleh meningkatkan serangan tetapi digagalkan dengan penyudah yang tumpul.

Satu lagi aksi dalam kumpulan C, Perak bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya Georgetown. Keputusan itu juga bermakna satu lagi slot suku akhir kini menjadi rebutan diantara Perak, Pulau Pinang dan Sabah.