Prestasi luar biasa yang dipamerkan penyerang veteran, Amri Yahyah, sehingga meledak hatrik ketika membenam Kedah Darul Aman (KDA) FC,4-0 di Stadium Likas mendapat pujian daripada pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Beliau percaya rekod yang dilakar Amri selaku pemain paling berusia meledak hatrik di Liga Malaysia, tidak akan dipecahkan oleh mana-mana pemain lain pada masa akan datang.
Tambahnya, Amri perlu dijadikan ikutan oleh semua pemain Sabah terutama generasi muda kerana masih mampu mengekalkan prestasi cemerlang walaupun sudah menginjak ke usia 40-an.
“Amri kita tahu pemain yang cukup berpengalaman dan bermain agak baik walaupun telah berusia 41 tahun.”
“Saya percaya rekod jaringan hatrik beliau sebagai pemain paling berusia dalam saingan Liga Malaysia akan bertahan lama dan tidak akan ada mana-mana pemain mampu lakukan seperti Amri.”
“Ini membuktikan kemampuan Amri serta beri keyakinan untuk dirinya malah beliau harus menjadi contoh pemain-pemain muda Sabah untuk bermain seperti beliau,” katanya.
Amri Yahyah menjaringkan tiga gol yang cukup menarik di separuh masa kedua pada minit 51,61 dan 72 manakala satu lagi gol menerusi sepakan percuma yang diambil, Park Tae-su pada minit 56.
Jaringan-jaringan tersebut menjadi perhatian Sabah FC serta peminat bola sepak tempatan di sebalik kejayaan Sabah untuk kembali merampas kedudukan kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kim Swee dalam masa sama memuji keseluruhan persembahan yang dipamerkan pemain-pemain kerana dapat memainkan peranan masing-masing di atas padang.
Tambahnya, kemenangan besar itu tidak akan hadir jika pemain tidak berjaya mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan.
” Pemain memainkan peranan serta mengikut arahan yang ditetapkan dan apa kita lihat pada separuh masa pertama, kita berjaya mencipta ruang dan tidak membenarkan Kedah bermain seperti mana mereka lakukan.
” Ini satu disiplin yang sangat baik dari pemain walaupun kita tidak berjaya menjaringkan sebarang gol di separuh masa pertama.
“Namun, pemain dapat mengekalkan momentum di separuh masa kedua dan apabila kita dapat satu gol, kita meletakkan tekanan kepada pasukan Kedah.
” Jadi, apabila kita berjaya mendapat gol seterusnya iaitu kedua,ketiga dan keempat, tentu menutup terus peluang Kedah untuk kembali semula dalam perlawanan,” tambah Ong Kim Swee lagi.