Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjangkakan kedudukan pasukan yang akan layak ke Piala AFC hanya akan terjawab selepas perlawanan terakhir Liga Super 2022 melihat kepada jurang mata yang rapat antara lawan.

Baca Juga:

Meskipun Sabah kini di tangga kedua liga dengan 36 mata, namun beliau merasakan kedudukan terkini belum selamat berbaki empat perlawanan menyaksikan pasukan lain sedang mengekori rapat untuk mencuri mata.

Berbeza dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hampir pasti merangkul trofi Liga Super walaupun berbaki enam perlawanan lagi, Kim Swee melihat pasukan seperti Negeri Sembilan dan Terengganu FC juga tidak akan memberi laluan mudah untuk terus berada di kelompok tiga terbaik liga.

“Apa-apa sahaja boleh berlaku sebab masih ada empat perlawanan lagi,” ujar Ong Kim Swee menurut laporan laman sesawang rasmi Malaysian Football League.

Ong Kim Swee
Kredit Foto: Sabah Football Club

“Jadi, saya percaya kedudukan pasukan mana yang akan layak ke Piala AFC akan kita ketahui selepas perlawanan terakhir di mana semua pasukan saya percaya masih cuba untuk mendapatkan slot itu.”

“Untuk saya, saya tidak akan fikirkan kesemua aksi sebab yang penting adalah untuk kita hadapi satu persatu perlawanan di mana kita perlu berada di tahap terbaik agar tidak tercicir mata.”

“Dan sudah pasti, pencabar terdekat yang saya rasa sentiasa mengekori rapat adalah Negeri Sembilan dan Terengganu”, tambah pengendali berusia 51 tahun itu lagi.

Selepas mengharungi 18 perlawanan liga, Sabah mencatatkan 11 kemenangan, tiga kemenangan dan empat kekalahan untuk mengumpul 36 mata sekali gus memiliki kelebihan satu mata berbanding Negeri Sembilan.

Manakala, Terengganu yang mencatatkan kemenangan ke atas Penang FC malam tadi ketinggalan empat mata.

Perlawanan seterusnya pada 1 Oktober nanti selepas rehat tugasan kebangsaan menyaksikan Sabah akan berhadapan dengan Terengganu di Gong Badak. Sementara itu, Negeri Sembilan pula akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bagi pertemuan dengan JDT.