Pengendali skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pasukan kredil seperti Kemboja, Filipina dan Laos kini bukan lagi pasukan belasahan seperti beberapa tahun lalu kerana program pembangunan mereka sudah mula membuahkan hasil.
Beliau berkata demikian selepas memerhatikan prestasi pasukan muda 3 negara itu dalam saingan kelayakan AFC B-23 dan temasya Sukan SEA baru-baru ini.
Justeru itu, Kim Swee memberi amaran bahawa Malaysia akan terus ketinggalan jika tidak mengamalkan program pembangunan akar umbi yang lebih teratur untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.
“Kita perlu fikirkan apa corak program yang kita mahu lakukan lepas ini, di mana saya percaya Kemboja yang layak ke pusingan akhir Piala AFC B-19 baru-baru ini, mereka mempunyai program yang cukup teratur dan kita tidak boleh leka.
“Bagi peminat, ini terpulang kepada mereka, di mana mereka mempunyai hak untuk bersuara, tetapi kita harus faham situasi dan realiti sebenar. Dulu apabila berjumpa Filipina, Kemboja dan Laos, kita tahu kita boleh menang, tetapi kita boleh menerima realiti sekarang,” katanya dalam Bernama.
Mungkin impak yang ditunjukkan oleh skuad muda Kemboja tidak mampu menyaingi beberapa negara di Asia Tenggara bagi skuad senior, tetapi perlu diperhatikan bahawa pemain-pemain remaja mereka sudah mula memberikan perkembangan yang hebat mengejutkan gergasi Asia Tenggara.
Ini bermakna mereka semakin pantas mengejar pembangunan bola sepak yang mungkin selama ini agak terkebelakang dengan bantuan gergasi Asia – Jepun.
Namun jika dipandang enteng tidak mustahil Kemboja akan menumbangkan negara-negara lain selepas ini terutama diperingkat remaja.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontraknya sebagai pengendali skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) yang berakhir pada hujung bulan ini tidak akan disambung.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selepas skuad negara gagal mencapai sasaran mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA 2019 di Filipina selepas tewas 1-3 kepada Kemboja.
Kim Swee bagaimanapun akur dengan keputusan itu dan kini sedang intai peluang untuk menjadi ketua jurulatih sebuah kelab profesional.
“Saya telah diberitahu oleh Stuart Ramalingam (Setiausaha Agung FAM), saya terima dengan hati terbuka. Saya telah begitu lama dengan FAM, terutamanya dengan pasukan remaja, jadi saya ucapkan terima kasih kepada FAM.
“Setiap jurulatih yang terlibat dalam bola sepak adalah untuk keputusan, dan usaha kita hanya akan ditentukan dengan keputusan. Tak kira keputusan sebelum ini, jika saya mampu memenangi Piala Dunia sekalipun, semalam saya kalah kepada Kemboja, perkara yang sama akan berlaku.
“Buat masa ini saya tidak mahu fikir apa-apa mengenai masa depan saya, di mana yang penting sekarang saya harus tumpukan pada kursus ‘lesen pro’ saya yang akan datang, dan pada yang sama untuk mengambil sama bersama keluarga, sebelum saya memikirkan tindakan seterusnya,” katanya.
Baca artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Kemboja melalui pautan dibawah.
4 Orang Jepun Ini Sedang Giat Membantu Menaikkan Kualiti Bola Sepak Kemboja
Saksikan Video Padu Bagaimana Honda Keisuke ‘Merasuk’ Semangat Pemain Kebangsaan Kemboja