Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) membuat keputusan untuk mengambil 3 pemain import sahaja bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 yang bakal bermula pada 26 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Beberapa bulan lalu, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan perubahan  mengenai pertambahan kuota pemain import untuk setiap pasukan yang bertanding mulai musim 2023.

MFL mengesahkan setiap pasukan dibenarkan mengambil 9 pemain import tetapi hanya 5 pemain import beraksi di atas padang manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut panduan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, NSFC muncul antara pasukan yang memilih untuk tidak melengkapkan kuota pemain import tersebut. Mereka telah mengekalkan seorang pemain import musim lalu dan mengambil dua pemain import baharu.

Tiada pemain import untuk kuota AFC dan ASEAN seperti diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Satwant Singh dalam satu kenyataan rasmi.

“Pemain-pemain tersebut ialah Mark Herold Goulon, yang merupakan tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC pada musim lepas. Beliau yang berasal dari Perancis telah menjaringkan 6 gol dalam saingan liga musim lepas.

“Seorang lagi pemain ialah Ezechiel Ndouasel. Pemain kebangsaan Republik Chad ini beraksi sebagai penyerang dan bermain di Liga Indonesia pada musim lepas.

“Pemain import ketiga masih dalam perbincangan untuk menyertai pasukan. Beliau akan beraksi di posisi tengah,” katanya.

Ini merupakan salah satu langkah yang diambil dalam menstrukturkan semula pasukan selain menambah kekuatan pasukan di tiga posisi utama yang amat diperlukan oleh Ketua Jurulatih, K.Devan.

Kekurangan pemain import sudah pasti tidak akan memberi masalah kerana mereka masih mempunyai beberapa pemain tempatan berkualiti termasuk bekas penyerang Selangor, Shahrel Fikri.