Ketua jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor menyifatkan TM Piala Malaysia musim ini cukup istimewa apabila telah memasuki edisi ke 100 tahun sekali gus enggan terlepas untuk turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang terlibat dalam saingan berprestij itu.
Justeru, perlawanan tertunda Liga Premier menentang Kuching City FC pada petang ini sangat penting dalam misi wajib menang dengan kelebihan dua gol untuk layak bersaing di pentas TM Piala Malaysia dan sekiranya mereka tewas, PDRM FC akan mendapat slot tersebut apabila kini berada di tangga ketujuh liga dengan 26 mata.
Meskipun pasukan tidak dapat berlatih apabila perlu menjalani kuarantin pada awal bulan ini, Nazrulerwan berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh anak buahnya sebaik sahaja kembali ke padang dan lebih menarik apabila berjaya menewaskan Terengganu FC II, pada Selasa lalu.
Namun, berdepan skuad kendalian Irfan Bakti semestinya bukan mudah kerana walaupun mereka telah layak ke TM Piala Malaysia, tidak bermakna pasukan itu akan beraksi sambil lewa dan membiarkan mereka tewas di tangan Kelantan United dengan mudah di laman sendiri.
“Terus terang saya cakap selepas kita menang dengan TFC II, saya nampak moral pemain-pemain saya semakin tinggi sebab walaupun lama kami tak berlatih sebab kuarantin, tetapi mereka tetap mampu bermain dengan berdisiplin.
“Saya memang nak layak ke Piala Malaysia dan saya tahu pemain-pemain saya nak bermain di saingan itu, apatah lagi ini sudah memasuki ke 100 tahun, mesti la mereka tidak ingin terlepas untuk turut layak.
“Bukan apa, ia juga bagus untuk masa depan pemain-pemain yang ada ini terutamanya pemain muda kerana daripada situ, mungkin dapat memikat hati mana-mana jurulatih lain untuk mereka menapak lebih jauh”, jelasnya.
Dalam aksi pada Selasa lalu, antara pemain yang turut menjadi nadi penting kepada kemenangan pasukan adalah penjaga gol, Fikri Che Soh apabila beraksi cemerlang mengawal gawang daripada serangan berbahaya di mana Nazrulerwan percaya dia mampu untuk terus bantu pasukan pada malam esok.
“Secara jujurnya, pada malam itu tiada yang akan sangka Kelantan United dapat menang, tetapi semangat tidak menyerah kalah pemain perlu dipuji.
“Saya tidak nafikan Fikri beraksi cukup baik pada malam itu dan bukan sahaja Fikri, tetapi pemain-pemain lain juga bermain dengan cemerlang.
“Cuma, mereka perlu terus konsisten kerana ia sangat penting untuk pasukan, tiada guna kalau beraksi baik tempoh hari, dan selepas itu gagal untuk kekalkan prestasi”, tambahnya.
Kelantan United FC kini berada di tangga kesembilan liga dengan 23 mata manakala PDRM FC di tangga ketujuh dengan 26 mata.
Setakat ini empat pasukan Liga Premier yang telah layak ke TM Piala Malaysia adalah Negeri Sembilan FC, Sarawak United FC, Kuching City FC dan Kelantan FC manakala pasukan terakhir akan diketahui sebaik sahaja berakhir perlawanan tertunda pada petang ini.