Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi jelas tidak berpuas hati dengan jalan penyelesaian isu kewangan Barcelona pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Baca Juga:
- Had Perbelanjaan Barcelona Naik Sebanyak €800 Juta Selepas Jual Aset, Tebas Nafi Pilih Kasih
- Barcelona Masih Tak Bayar Hutang €126 Juta Dengan 19 Kelab Termasuk Liverpool Dan Ajax
- Barcelona Berhutang Tunggakan Gaji £17 Juta Dengan De Jong
Nasser yang merupakan ahli perniagaan kelahiran Doha, Qatar turut mempersoalkan adakah Barcelona berlaku jujur menangani perkara tersebut sehingga membolehkan pemain baharu mereka berjaya didaftarkan.
Seperti yang dilaporkan media barat sebelum ini, Barcelona telah menjual 24.5 peratus pegangan saham syarikat pengeluaran milik pasukan kepada Orpheus Media dengan harga €100 juta bagi memenuhi keperluan kewangan La Liga.
Ia juga bagi memastikan rekrut baharu mereka seperti Robert Lewandowski, Raphinha, Jules Kounde, Franck Kessie, Hector Bellerin, Andreas Christensen dan Marcos Alonso dapat didaftarkan.
Sehubungan dengan persoalan yang jelas bermain di minda beliau, Nasser mahu campur tangan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk menyiasat perkara tersebut, seperti yang dilaporkan Goal.
“Adakah semua ini adil? Tidak, ini tidak adil. Apakah [penyelesaian berhubung isu kewangan] itu sah?,” ujar Nasser.
“Saya tidak pasti tentang perkara tersebut. Jika mereka diberikan keizinan, pasukan yang lain juga akan melakukan perkara sama.UEFA sudah pastinya memiliki peraturan kewangan mereka sendiri. Pasti mereka akan melihat segala-galanya.”
“Peraturan kesinambungan kewangan yang baharu adalah merupakan satu perkembangan positif. Tetapi kita harus berhati-hati. Tahap hutang yang berbahaya dan urus niaga ekuiti ajaib bukanlah jalan yang terbaik,” tambah beliau lagi.