Selangor FC (SFC) semalam telah mengumumkan kedatangan semula pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin bagi memperkuatkan pertahanan dalam baki saingan Liga Malaysia musim 2023.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, kehadiran pemain berusia 31 tahun ini mengundang pelbagai reaksi negatif dalam kalangan penyokong Selangor.

Menurut Safuwan, beliau berharap penyokong Selangor dapat menerima kepulangannya dan menjelaskan nasihat daripada ibu bapa antara faktor utama yang mendorongnya kembali ke Gergasi Merah walaupun terdapat minat daripada kelab Thailand.

“Saya ada menerima beberapa tawaran dari Liga Thailand tetapi setelah berhubung dengan kedua ibu bapa saya, mereka menyarankan saya untuk terus berada di Liga Malaysia untuk baki enam bulan terakhir musim ini, iaitu bersama Selangor FC.

“Dalam masa yang sama, antara yang menarik minat saya untuk kesini adalah saya belum pernah bermain di bawah jagaan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Selain itu, hubungan dengan rakan sepasukan Gergasi Merah akan membantu untuk saya menjalankan tanggungjawab di sini terutamanya dari segi komunikasi kerana separuh daripada pasukan merupakan rakan sepasukan sebelum ini.

“Saya juga berharap keserasian bersama pemain-pemain import dan beberapa pemain lokal baharu pasukan akan terjalin,” jelas Safuwan dalam kenyataan rasmi di laman web SFC.

Tiga musim bersama Selangor FC sebelum ini, Safuwan berjaya beraksi dalam 37 perlawanan sebagai tonggak pasukan selama beliau di kem Gergasi Merah.

Walau bagaimanapun, kecederaan beliau enam bulan terakhir musim lalu memaksa beliau untuk membuat keputusan keluar daripada pasukan demi kebaikan diri dan juga kelab.

Safuwan mula menyarung jersi Negeri Sembilan (NSFC) pada awal tahun ini walaupun ketika itu banyak pihak terutama peminat pasukan berkenaan mempersoalkan tahap kecergasannya.

Dalam tempoh enam bulan, Safuwan dilihat berjaya memainkan peranan proaktif dalam membantu NSFC mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA.

Safuwan merekodkan 12 penampilan bersama skuad bimbingan K Devan dengan penampilan terakhirnya sebagai pemain gantian ketika menentang Johor Darul Ta’zim di tempat lawan, 8 Julai lalu.