Nasib pemain Batu Dua FC semakin terumbang-ambing apabila tunggakan gaji belum diselesaikan oleh pengurusan pasukan dan baru-baru mereka telah di’scam’ oleh penaja pasukan.
Menurut pendedahan pengguna media sosial Facebook, La BOLA Malaya, penaja pasukan yang tidak didedahkan namanya telah berjanji untuk melunaskan tunggakan gaji pemain sebelum saingan Liga M3 berakhir.
Para pemain telah diberi surat Aku Janji selepas perlawanan menentang Kelantan United. Akan tetapi, pemain tidak bersetuju dengan beberapa perkara dalam surat tersebut dan memulangkannya kepada penaja terbabit.
Pihak penaja menerima semula surat yang dikembalikan dan bersetuju untuk membuat pindaan sebagaimana kehendak pemain dan akan memberikan surat tersebut beberapa hari kemudian.
Akan tetapi, janji hanya tinggal janji apabila sehingga saat ini pihak penaja masih lagi belum memberikan surat yang telah dipinda kepada pemain.
Isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh Batu Dua FC ini nyata memberikan kesan mendalam terhadap prestasi pasukan. Dalam dua perlawanan terakhir Liga, Batu Dua tewas dengan jaringan besar dimana mereka tewas dengan keputusan 10-0 kepada Kelantan United dan tunduk kepada Armed Forces FC dengan keputusan 8-2.
Apa yang pasti, pihak pengurusan kelab dan juga penaja yang telah berjanji mahu menyelesaikan tunggakan gaji pemain perlu bertanggungjawab dan memastikan pemain mendapatkan hak mereka.
Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji pasukan Batu Dua FC di sini: