Pemain import kelahiran Ghana, Nana Poku yang sebelum ini beraksi bersama UiTM FC dilihat bakal menjadi pilihan Perak dalam usaha menyelamatkan kelab tersebut daripada zon penyingkiran.
Meskipun masih tiada lagi pengesahan rasmi dikeluarkan laman sosial rasmi Perak berhubung perkara tersebut, ejen pemain berusia 28 tahun itu sudah memberikan bayangan jelas kehadiran Poku ke Stadium Perak.
Ejen beliau, Sherif Ahmed Moustafa dilihat sudah pun memuatnaik foto di laman Instagram peribadinya di mana Poku telah menandatangani kontrak di Stadium Perak dan turut kelihatan bergambar bersama ketua jurulatih Perak, Chong Yee Fatt.
Keadaan itu sudah pastinya menjadi isyarat bahawa Yee Fatt mahu menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan yang ketika ini sedang dihadapi Perak sekali gus mahu membawa skuad Yob itu keluar daripada kedudukan bahaya.
Seperti diketahui, Poku sebelum ini beraksi bersama UiTM FC tetapi sumbangannya dilihat kurang berkesan berikutan beliau hanya mampu menjaringkan dua gol.
Lebih menarik, dua gol tersebut terhasil ketika UiTM berkunjung ke Ipoh bagi berhadapan Perak yang mana skuad bimbingan Yee Fatt itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 3-2.
Sebelum bersama UiTM FC, Nana Poku pernah beraksi dalam saingan di Mesir Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan memulakan karier profesional di negara kelahirannya.
Adakah beliau mampu untuk mengukirkan senyuman di wajah para penyokong Perak yang pada ketika ini berada dalam kerisauan? Sama-sama kita nantikan.