Setelah beberapa musim bergelut mendapatkan prestasi terbaik ekoran kecederaan, penyerang Sabah dan bekas pemain Bawah 23 tahun negara, N.Thanabalan berharap musim 2022 akan menjadi detik kebangkitan semula dalam kariernya.
Menurut pemain berusia 27 tahun ini, dia tidak pernah berputus asa atau terfikir mahu menggantung ‘boot’ walaupun sukar mendapat tempat dalam beberapa pasukan yang disertainya seperti Negeri Sembilan, Kedah dan Perak II.
Tambahnya, soal kecederaan adalah satu perkara yang mahu dielakkan oleh mana-mana pemain yang menyaksikan ramai antara mereka terpaksa bersara lebih awal.
“Kecederaan dalam bola sepak ini adalah satu perkara yang biasa dalam bola sepak dan ramai juga pemain yang hilang kerana masalah kecederaan di bahagian kaki.
“Sebelum datang ke Sabah, saya memang ada alami masalah kecederaan di lutut kanan perlu jalani proses pemulihan dan rasa lega kerana dapat juga beraksi pada penghujung tahun lalu.
“Saya tidak kisah jika orang tidak lagi ingat saya selepas pernah bantu pasukan negara mara ke final Sukan SEA 2017 kerana sebagai pemain bola sepak, situasi ini adalah lumrah.
“Apa yang penting, jangan sama sekali berputus asa dalam karier dan itu saya tengah cuba buktikan selepas berjaya untuk terus bersama Sabah pada musim ini,” kata N.Thanabalan.
Dia diturunkan sebanyak tujuh kali dalam kesebelasan utama selain tiga kali selaku pemain gantian dengan 10 penampilan secara keseluruhan bersama Sabah.
Sementara itu, penyerang yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan berkenaan akui tidak sabar bergandingan semula dengan bekas rakan sepasukannya di Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Jelasnya, peluang bersama Baddrol adalah impian mana-mana penyerang di negara ini kerana kualiti serta pengalaman yang dimiliki pemain tengah itu sangat baik.
“Saya pernah main dengan dia semasa di Kedah, Baddrol ni seorang pemain yang sentiasa boleh berikan hantaran berkualiti kepada penyerang
“Hantaran-hantarannya sentiasa boleh tekanan kepada pihak lawan dan itu satu perkara isitimewa mengenai Baddrol yang jarang ada kepada pemain lain.
“Bagi saya, ini ibarat peluang kedua bermain dengan dia dan Baddrol sememangnya layak untuk saya panggil dia legenda dalam pentas Liga Malaysia,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:
Tindak Balas Endrick Dos Santos Punca Insiden Pergaduhan Berlaku