Beberapa pasukan yang telah mendapat kelulusan untuk berlatih akan mula menjalani latihan pada hari ini setelah berjaya melengkapkan proses yang diperlukan oleh Malaysian Football League (MFL).
Antaranya Selangor FC serta Selangor FC 2 yang telah berjaya mendapatkan kelulusan pada 14 Februari dan akan memulakan sesi latihan di Padang Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidun, menjelaskan pengalaman pada musim lalu telah menjadikan mereka sudah bersedia terhadap apa perkara yang diperlukan serta tidak berdepan banyak kesukaran bagi melengkapkan syarat yang dimahukan MFL.
“Kami telah menghantar semua laporan yang diperlukan semalam ke MFL dan MFL juga telah memberikan kelulusan pada hari yang sama. Perkara ini bukan sesuatu yang janggal kerana kami pernah lakukan sebelum ini.
“Ujian calitan COVID-19 telah dilakukan pada Sabtu lalu selain telah sanitasi padang latihan serta beberapa dokumen yang diperlukan, maka semuanya telah selesai dan kami boleh berlatih pada hari ini.
“Pasukan akan berlatih seperti biasa iaitu latihan secara kontak penuh dan cara SOP (Prosedur Operasi Standard) yang kami pilih adalah ‘Home Quarantine’,“ katanya.
Jelas Dr. Johan, beliau yakin pegawai serta pemain mampu menjaga SOP yang ditetapkan di bawah ‘Home Quarantine’ bagi memastikan tiada masalah yang boleh timbul jika ada dalam kalangan pemain terdedah kepada jangkitan COVID-19.
“Semua pemain sedar sepenuhnya akan perkara ini dan mereka tahu tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membantu pencegahan COVID-19 ini kerana kesannya pasti besar kepada Liga Malaysia.
“Jika ada yang tidak menjaga SOP, sudah pasti situasi berkenaan akan berikan kesan kepada semua orang tetapi saya tidak bimbang dengan komitmen semua pegawai serta pemain dalam perkara ini, ” katanya.
Selain Selangor FC dan Selangor FC 2, pasukan lain seperti Perak, PJ City FC serta UiTM FC juga telah mendapat kebenaran untuk melakukan latihan bermula pada hari ini.
Pada 9 Februari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan Jendela Perpindahan Pertama Liga Malaysia 2021 Ditutup Pada 19 Februari, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Februari 2021.