Ketua jurulatih skuad kebangsaann, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau kini sedang memantau keadaan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh menjelang perlawanan persahabatan menentang Jordan Jumaat ini dan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada September ini.
Sumareh dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha yang dialami ketika beraksi bersama Pahang dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan Cheng Hoe menjelaskan staf kejurulatihan yang lain turut memantau pemain berusia 26 tahun itu.
Cheng Hoe berkata: Sumareh tidak beraksi pada perlawanan terakhir Pahang ketika berhadapan dengan Sabah. Kami akan pantau dari segi tahap kecergasan serta kecederaan beliau.
“Saya harap dia dapat pulih dalam masa terdekat kerana kita tahu Sumareh mampu memberi impak kepada pasukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Jika Sumareh tidak dapat diturunkan, maka dua pemain iaitu Akhyar Rashid dan Hadin Azman akan bersaing bagi mengisi posisi sayap kiri dalam kesebelasan utama pasukan negara. Posisi sayap kanan pula bakal diisi oleh rakan sepasukan Akhyar di JDT, Safawi Rasid.
Ketika perlawanan pusingan pertama kelayakan menentang Timor Leste, Akhyar berjaya menyumbang satu gol ketika Malaysia memenangi perlawanan pertama dengan 7-1. Pada perlawanan kedua, pemain berusia 20 tahun itu sekali lagi menjaringkan satu gol dalam kemenangan 5-1 pasukan negara pada perlawanan kedua.
Setelah berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta untuk aksi pertama kelayakan pada 5 September ini.
Artikel lain berkaitan pasukan kebangsaan.
Hazwan Sedia Buktikan Kemampuan Bersama Skuad Harimau Malaya