Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memutuskan untuk menghentikan proses naturalisasi pemain keturunan Belanda, Justin Hubner kerana tidak mampu memenuhi permintaan pemain itu. 

Baca Juga:

Menurut laporan Vocket FC Indonesia, pihak Justin Hubner dilaporkan telah meminta bayaran sehingga 1 juta EURO untuk memastikan beliau terus menyarung jersi skuad kebangsaan Indonesia di pentas antarabangsa.

Namun, PSSI melalui exconya, Arya Sinulingga enggan mengulas lanjut apa permintaan daripada pemain pertahanan Wolvers U-21 itu dan mengesahkan pihaknya tidak dapat memenuhinya.

“Kita tidak meneruskan untuk melakukan proses naturalisasi terhadap Justin Hubner kerana ada permintaan daripada pihak Justin yang tidak mampu kita penuhi.

“Saya tidak mahu dedahkan, tapi memang PSSI tidak dapat memenuhi apa permintaan pihak Justin, jadi kita buat keputusan tidak meneruskan proses naturalisasi,” jelas Arya Sinulingga.

Justin Hubner sebelum ini menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi Indonesia bagi menghadapi saingan Piala Dunia B-20.

Malah, pemain tersebut juga dipilih sendiri oleh ketua jurulatih, Shin Tae-yong kerana saingan Piala Dunia B-20 sangat berbeza serta memerlukan beberapa pemain berkualiti untuk bersaing dengan pasukan kuat.

Bagaimanapun, FIFA telah menarik balik hak tuan rumah Indonesia dan digantikan dengan Argentina sekaligus meranapkan impian mereka beraksi di Piala Dunia.

Menurut PSSI, setakat ini hanya dua pemain keturunan yang masih meneruskan proses naturalisasi iaitu Ivar Jenner dan Rafael Struick.

“Dengan ini semoga nanti di Kementerian Sekretariat Negara (Kemensetneg), kami sudah bersurat ke Kemenpora (Kementerian Belia dan Sukan) dan hubungi Menpora” ujar Arya Sinulingga.

“Nanti Kemenpora akan bersurat ke Kemensetneg untuk memproses Ivar Jenner dan Rafael Struick itu akan kami proses, akan diurus administrasinya dan disumpah,” jelasnya.