Penyerang UKM FC, Michael Ijezie Chukwubunna dikhabarkan menjadi pilihan utama ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk dijadikan pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh bagi membolehkam beliau beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Tan Cheng Hoe difahamkan sudah menghantar wakil daripada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan bagi memenui Michael. Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan mereka mengambil sikap berhati-hati dan tidak mahu menilai dari segi persembahan di atas padang semata-mata.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya mahu menyelidiki latar belakang pemain terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada pemain itu layak untuk dijadikan pemain naturalisasi ataupun sebaliknya. Ini bagi memastikan pemain yang dipilih dapat menyumbang sesuatu yang positif terhadap pasukan negara.
“Saya tidak pasti dan tiada maklumat mengenai pertemuan itu. Apa pun ia bergantung kepada jurulatih pemain mana yang dikehendaki.
“Namun FAM akan selidik dulu seseorang pemain berkenaan termasuk latar belakang mereka. Kita mahu pastikan mereka tidak ada rekod yang tidak baik,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, Michael Ijezie menjadi salah satu daripada tiga pemain yang dipertimbangkan secara serius untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi. Dua lagi pemain ialah pemain tengah Melaka United, Liridon Krasniqi dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.
Pemain berusia 31 tahun ini sudah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2012. Pada awal mula karier beliau di Malaysia, pemain ini beraksi bersama NS Betaria dari tahun 2012 hingga 2014.
Ijezie kemudiannya mentertai Putrajaya SPA pada musim 2015. Setelah beraksi bersama SPA, Michael kemudiannya menyertai MISC-Mifa atau yang sekarang dikenali dengan nama Petaling Jaya City FC sebelum menyarung jersi UKM FC dari tahun 2018 hinggalah saat ini. Selain itu, Michael turut menikah dengan wanita dari Sarawak.
Jika Ijezie menepati segala kriteria yang ditetapkan dan beliau diberi kepercayaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya, maka beliau akan bersaing dengan penyerang sedia ada seperti Zaquan Adha, Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri dan penyerang muda yang beraksi bersama Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak.