Sentuhan dari Korea Selatan menjadi sandaran utama buat pasukan pilihan juara, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam mengharungi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 yang akan bermula esok.
Baca Juga:
- Hoki Piala Dunia 2023: Korea Selatan Cipta Kejutan Mara Ke Suku Akhir
- Piala Dunia Hoki: Malaysia Tewas Ditangan Sepanyol Menerusi Penalti ‘Shoot-Out’
- Tengku Ahmad Tajuddin: Figura Hebat Lonjakkan Hoki Malaysia
Bukan satu atau dua tetapi empat tenaga dari negara yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia Hoki 2023 itu dibawa ke Batu Buruk Kuala Terengganu itu dengan bekas pemain skuad kebangsaan Korea Selatan, Seo Jong-ho bertindak selaku ketua jurulatih.
Lebih menarik, khidmat pakar pukulan sudut penalti yang menikmati 314 penampilan di pentas antarabangsa, Jang Jong-hyun akan turut menambah kekuatan buat skuad juara lima kali itu.
Jang bukanlah asing dalam kancah MHL kerana beliau sebelum ini pernah beberapa musim beraksi dengan cukup cemerlang dalam membantu THT.
Dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu, Jong-ho turut menagih khidmat dua pemain muda berbakat besar dari negaranya iaitu Yoo Seong Ho (20 tahun) dan Choi Hoil (22 tahun).
Selain trio dari Korea Selatan itu, THT turut diperkuatkan lagi dengan barisan pemain kebangsaan yang beraksi di Piala Dunia tempoh hari seperti peledak berbisa, Faisal Saari, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Hafizuddin Othman (penjaga gol) dan pemain muda, Shello Silverius.
Bekas pemain kebangsaan, Mohd Fitri Saari, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Ismail Abu dan Nabil Fiqri Mohd Nor menambah kekuatan pasukan yang turut muncul juara enam kali Piala TNB itu.
Satu adunan pemain yang nyata sudah cukup untuk memperlihatkan THT bakal menjadi antara pasukan pilihan untuk menjadi ‘raja’ dalam saingan MHL musim ini.
Saingan MHL akan bermula petang esok diserikan dengan penentuan Piala Sumbangsih yang menemukan THT dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi yang berlangsung 8.30 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain daripada THT dan TNB, enam lagi pasukan bersaing dalam kempen MHL 2023 iaitu Maybank, Young Tigers, UITM HA-KPT, TNB Thunderbolts, Nurinsafi Sporting dan ATM.
Bagi kategori wanita pula menampilkan Negeri Sembilan, TLHT-MSNT, CS Hockey Team, Young Tigress, KPT-UNITEN Thunder dan Mutiara-Impian-MSSP-PSHA.