Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan manual syarat pemain naturalisasi telah dimansuhkan selepas dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah dalam mesyuaratnya kelmarin.
Langkah itu diambil setelah MFL mendapati ianya tidak lagi sesuai untuk dikuatkuasa atau dipraktikan berdasarkan perkembangan semasa dalam bola sepak tempatan.
Justeru, mana-mana pemain asing yang telah diiktiraf kewarganegaraannya oleh pihak berwajib dan memiliki kelayakan untuk mewakili pasukan negara, pemain tersebut juga boleh diiktiraf mewakili kelab atau pasukan dalam Liga Malaysia dengan status sebagai pemain tempatan.
Ia juga bermakna pemain naturalisasi dari Kosovo, Liridon Krasniqi boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk pasukan JDT selepas mendapat status kewarganegaraan Malaysia secara sah minggu lepas.
MFL sebelum ini menetapkan syarat bagi pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat pasport warganegara yang sah.
Namun, ketika kes Mohamadou Sumareh dibawa ke MFL, Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuaratnya pada 28 September 2018 telah membuat pengecualian syarat pendaftaran 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat passport warganegara yang sah dan membenarkan Sumareh didaftar sebagai pemain tempatan untuk pasukan Pahang pada 2 Mac 2019.
Pahang pula kemudian telah membuat rayuan untuk membenarkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Jendela Perpindahan Pertama oleh kerana tarikh 2 Mac 2019 tersebut adalah tarikh selepas penutupan Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.
Bagaimanapun, selepas pertimbangan yang sewajarnya oleh Lembaga Pengarah MFL dimana pemain tersebut telahpun mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan lebih-lebih lagi berjaya membawa pasukan kebangsaan ke peringkat akhir Piala AFF 2018, Lembaga Pengarah MFL telah mengubah keputusan untuk membenarkan permohonan kedua pendaftaran Sumareh dalam Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.
Baca artikel lain mengenai pemain naturalisasi negara yang mungkin anda terlepas pandang.
Brendan Gan Tidak Suka Dilabelkan Sebagai ‘Pemain Naturalisasi’
Tiga Pemain Yang Boleh Dipertimbangkan Untuk Dijadikan Pemain Naturalisasi