Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sentiasa membuka pintu bagi membantu mana-mana pasukan Liga Malaysia terutama dalam aspek pemilikan stadium sendiri pada masa depan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, badan itu menggalakkan setiap pasukan memiliki stadium sendiri sambil berharap tiada lagi pasukan yang berkongsi stadium. Malah, MFL juga akan membantu dalam aspek teknikal seperti menaik taraf mutu padang dan lampu limpah jika mendapat permohonanan.
Shazli berkata: Buat mana-mana pasukan, kami sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pasukan untuk hadir dan berbincang dengan MFL untuk nyatakan hasrat kepada MFL dan kami akan cuba membantu.
“Kami ada kontraktor yang pernah bekerjasama dengan MFL contohnya dalam aspek padang seperti mana di Terengganu (Stadium Sultan Zainal Abidin) yang sudah siap sepenuhnya cuma masih ada beberapa perkara perlu diteliti sebelum dibenarkan bermain di situ selain kontraktor lampu jika mahu bermain di waktu malam.
“Sekiranya ada pasukan mempunyai inisiatif yang serupa, kami amat alu-alukan kerana persiapan lebih awal boleh dilakukan. Matlamat MFL mahu melihat satu pasukan-satu venue, dan tiada lagi perkongsian stadium seperti mana kita lihat di Stadium Shah Alam dan Stadium Hang Jebat, ” katanya.
Dalam pada itu, Shazli memuji pendekatan Selangor United yang menjadi pasukan pertama berjumpa dengan MFL selepas menyatakan perancangan mereka kembali ke Sungai Besar bagi musim 2020.
Selepas melakukan pemeriksaan, beliau berpendapat Stadium Sungai Besar kini mencapai tahap hampir 75 peratus bersedia untuk digunakan bagi aksi Liga Premier cuma ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terutama pada aspek padang.
Malah, perkara teknikal lain seperti soal penginapan dan tempat duduk penonton juga tidak menjadi masalah besar sekali gus memungkinkan impian Selangor United beraksi di Stadium Sungai Besar hampir pasti menjadi kenyataan.
Menurut Shazli: Padang jika dilihat pada waktu ini daripada saiz dan kualiti, sememangnya boleh bermain cuma kena lakukan sedikit perubahan agar menetapi syarat yang ditetapkan.
“Pagar keselamatan penonton juga sudah ada yang telah dibina sejak Piala FAM dan kami ada melakukan pemantauan mengenai soal penginapan di sini.
“Ada beberapa hotel berdekatan yang jarak maksimum hanya 30 minit dari stadium dan kami telah mengambil kira perkara ini, jadi secara keseluruhan saya memang berpuas hati setakat ini,” katanya.