Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama jenama sukan global PUMA serta rakan pengedarnya – ACTIVE SPORTS hari ini melancarkan bola rasmi bagi perlawanan Liga Malaysia 2022 melibatkan saingan Liga Super, Liga Premier, TM Piala Malaysia, Piala FA dan Challenge Cup.
Selepas PUMA membuat penampilan kali pertama dalam kancah liga bola sepak profesional negara menerusi bola edisi khas sempena saingan 100 Tahun TM Piala Malaysia musim lalu, kini PUMA bersedia menambah kerancakan dan debaran Liga Malaysia 2021 menerusi bola rasmi MFL Accelerate 21.1 Pro.
Apa yang pasti kehadiran PUMA ini memberikan pengiktirafan cukup besar buat Liga Malaysia yang kini menjadi kejohanan bola sepak pertama di Asia menggunakan bola teknologi terkini PUMA selepas saingan LaLiga di Sepanyol dan juga kesemua pertandingan EFL termasuk Sky Bet Championship, League One, League Two, Carabao Cup and Papa John’s Trophy.
“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan MFL. Active Sports telah menaja beberapa pasukan terkemuka di Liga Malaysia, dan kami sangat gembira untuk meningkatkan tahap penglibatan kami bersama badan pengelola Liga Malaysia,” kata S. Murugeson, pemilik ACTIVE SPORTS.
“Peluang untuk bekerjasama dengan MFL dan PUMA dalam menghasilkan bola rasmi perlawanan Liga Malaysia 2022 adalah pencapaian penting dalam sejarah bola sepak Malaysia”.
“Kerjasama ini memberi kami peluang untuk mempamerkan produk bertaraf antarabangsa menggunakan teknologi terkini dalam dunia bola sepak yang memberi manfaat kepada pemain dan pertandingan serta dapat dinikmati oleh jutaan penyokong Malaysia,” kata kenyataan rasmi ACTIVE SPORTS.
Musim baharu, bola baharu! 🆕⚽
Memperkenalkan PUMA MFL Accelerate 21.1 Pro, bola rasmi Liga Malaysia 2022! 🔥#LigaMalaysia2022 pic.twitter.com/DcuzRHmWLm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) January 10, 2022
Sukan bola sepak sentiasa berkembang dengan pemain-pemain Liga Malaysia terus bersaing untuk meningkatkan tahap kemahiran lebih tinggi dan PUMA menerusi bola MFL Accelerate 21.1 Pro bakal membantu setiap pemain memperagakan prestasi terbaik.
Bola edisi khas ini dihasilkan menerusi teknologi moden di mana ia direka menerusi frekuensi tinggi untuk pengekalan bentuk yang sangat baik, ketahanan dan mengurangkan penyerapan air.
Konfigurasi 8 panel yang unik pula mengurangkan bilangan jahitan yang menghasilkan panel yang lebih besar untuk sambungan yang lebih baik dengan bola.
Manakala permukaan PU bertekstur 3D 1.2mm disepadukan untuk aerodinamik bagi meningkatkan ketahanan lebih baik manakala POE foam yang baru dibangunkan dapat menambah baik sentuhan dengan meningkatkan sensitiviti, memberikan sentuhan lebih teguh serta konsistensi lantunan yang lebih baik.
Selain direka dengan tekonologi terkini untuk melengkapkan pelbagai gaya permainan bola sepak moden, bola MFL Accelerate 21.1 Pro yang diiktiraf oleh badan induk bola sepak dunia FIFA ini memiliki corak cukup menarik dengan warna putih sebagai warna utama disulam dengan rekaan grafik berwarna biru, merah dan kuning sebagai simbol warna Jalur Gemilang.
Logo besar Puma juga boleh dilihat dipermukaan bola bersama dengan logo MFL. Bola MFL Accelerate 21.1 Pro ini boleh didapati secara ekslusif di ACTIVE SPORTS, kedai PUMA terpilih dan PUMA.com dengan harga bermula RM49 hingga RM559.