Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan badan kelolaan beliau hanya mempunyai satu agenda, iaitu memajukan industri bola sepak tanah air.

Baginda berkata demikian bagi menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya MFL mempunyai agenda tertentu susulan geran tahunan masih belum diserahkan kepada pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Menurut TMJ, sesiapa sahaja yang terlibat dengan industri bola sepak negara berhak untuk mempersoalkan mengenai isu geran tahunan yang lambat diserahkan namun mereka tidak sepatutnya menuduh badan pengelola Liga Malaysia itu mempunyai agenda tersendiri.

TM
SUMBER:l TheStar

“MFL ada satu sahaja agenda iaitu untuk memajukan bola sepak tanah air. Itu satu-satunya agenda MFL ada,” titahnya dalam satu sidang media semalam.

Tambah Tunku Ismail, meskipun MFL berdepan sedikit masalah kerana penaja sebelum ini memutuskan untuk menarik diri, namun pihaknya akan memastikan geran tahunan akan dibayar dengan segera bagi mengelakkan pasukan berdepan dengan masalah.

“Macam mana pun, kami kena serahkan tahun ini. Ini adalah tanggungjawab dan juga amanah yang diberikan kepada MFL,” ujarnya.

Akhir sekali, Tunku Ismail turut memberitahu bahawa MFL ketika ini sedang bekerja keras untuk mencari penaja khususnya dari luar negara untuk menaja saingan Liga Malaysia.