Sasaran skuad kebangsaan Thailand untuk menjuarai saingan King’s Cup 2022 seperti diketahui tidak kesampaian apabila skuad kendalian Mano Polking itu tewas menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Malaysia di separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Susulan dengan itu, skuad Gajah Perang menamatkan saingan di tempat ketiga selepas berjaya menundukkan wakil dari Amerika Selatan, Trinidad & Tobago dengan keputusan 2-1.

Disebalik kegagalan untuk menepati sasaran untuk muncul juara, kem Thailand mungkin dapat mengukir senyuman apabila pemain muda yang diberikan peluang beraksi berupaya mempamerkan aksi meyakinkan.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah Chatmongkol Rueangthanarot (pertahanan berusia 20 tahun), Channarong Promsrikaew (pemain sayap, 21 tahun) dan Teerasak Poeiphimai (penyerang, 20 tahun).

Chatmongkol dan Channarong diturunkan sebagai kesebelasan utama pada aksi bertemu Trinidad & Tobago yang menyaksikan pemain sayap itu berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-21.

Manakala, Teerasak pula dimasukkan pada minit ke-64 bagi menggantikan seorang lagi penyerang muda berbakat besar, Suphanat Muenta.

Kredit Foto: Changsuek

“Selepas kami kalah bertemu Malaysia, semua orang berasa kecewa dan sedih kerana ia terjadi pada pertandingan King’s Cup. Ini adalah kejohanan yang diadakan di Thailand dan sudah tentunya kami mahu menjadi juara.”

“Walaupun tidak berjaya ke final, kami tetap berjaya menunjukkan komitmen untuk menduduki tempat ketiga. Ia kerana pada akhirnya ia akan memberikan kesan kepada ranking FIFA.”

“Kami mampu bangkit daripada kekecewaan dan itu sesuatu yang boleh dibanggakan oleh pasukan kebangsaan,” ujar pengurus pasukan, Nuanphan Lamsam atau lebih mesra dengan panggilan ‘Madam Pang’ menurut sumber Goal Thailand.

“Selain daripada kemenangan bertemu pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dari kami, masih ada sesuatu yang boleh kami raikan. Kita dapat melihat beberapa bintang baharu muncul dan bermain untuk pasukan senior buat pertama kalinya.”

“Beberapa orang daripada mereka sudah mula menjadi pemain sandaran pasukan. Ini sesuatu yang sangat menggembirakan kerana setidak-tidaknya sudah mula ada generasi baharu Thailand.”

“Mereka boleh sahaja terpilih untuk menyertai pasukan ke skuad Piala AFF pada akhir tahun nanti,” tambah Nuanphan lagi.

 

 

 

Sumber