Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan menegaskan mentaliti pemain Malaysia perlu diubah sekiranya mereka berhasrat mahu beraksi di Liga luar negara.

Menurut Sathia, perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghantar lima pemain muda dari usia 18 hingga 23 tahun beraksi di Liga Jepun hanya akan membuahkan hasil jika pemain muda negara merubah mentaliti mereka.

“Usaha FAM sangat baik apabila terus berusaha menjalinkan kerjasama dengan negara luar.

B.Sathianathan
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Persoalannya, mampukah pemain ini kekal main di luar seperti Liga Jepun. Kadang-kadang sebab benda remeh-temeh macam rindu kekasih lah, rindu roti canai lah, nasi lemak dan sebagainya menyebabkan pemain kita tak tahan lama.

“Mental pemain juga cepat ‘koyak’ terutama bila dapat tekanan, dah merajuk nak balik. Jadi kalau perkara ini tak ubah, sia-sia saja usaha FAM itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Safawi Rasid
Power Sport Images

Sebelumnya, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan pemain muda negara seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mempunyai peluang beraksi di Liga luar negara.

Perkara ini disuarakan setelah Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) yang mahu FAM mencadangkan pemain terbaik untuk beraksi di negara Matahari Terbit itu selewat-lewatnya pada saingan musim ini.