Melaka United mengeluarkan kenyataan setelah pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan pasukan itu untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Baca Juga:
- Gaji Masih Tertunggak, Slot Piala Malaysia 2022 Buat Melaka United Dibatalkan
- PFAM Sahkan Pemain Melaka United Tidak Dibayar Gaji 3 Bulan
- Pemain Dedah Tunggakan Gaji Sarawak United Belum ‘Settle’
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Melaka memohon maaf kepada pemain, staf kejurulatihan, peminat dan pegawai pasukan kerana tidak dapat beraksi dalam kejohanan berprestij dalam negara itu.
— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) September 21, 2022
“Melaka United mengambil maklum pembatalan slot TM Piala Malaysia 2022 oleh pihak Malaysian Football League (MFL) berikutan isu pembayaran gaji yang tertunggak. Untuk pengetahuan, kelab masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak berkepentingan bersama-sama membantu dalam memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang akhirnya menjamin kelestarian kelab.
“Proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana dari pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu dan keutamaan diberikan untuk MUFC kekal berada di Liga Malaysia tahun hadapan.
“Kelab dengan ini memohon maaf kepada semua para pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij bola sepak negara iaitu Piala Malaysia musim ini serta para penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini.
“Pihak pengurusan mengambil iktibar daripada isu ini dan akan terus memandang ke hadapan bagi memastikan MUFC memperoleh lesen bagi menyertai Liga Malaysia 2023,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.
Sebelum ini, Melaka telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022. Namun, mereka hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga bulan Jun 2022.
“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.”
“MFL mengingatkan agar Melaka dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023.