Bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino difahamkan semakin hampir untuk bergelar pengurus baharu Chelsea.

Baca Juga:

Menurut sumber wartawan terkenal dunia, Fabrizio Romano, perbincangan melibatkan kedua-dua belah pihak berjalan dengan pantas dan lancar serta sudah memasuki fasa akhir.

Perkembangan positif juga dapat disaksikan melibatkan aspek perpindahan pemain, hubungannya dengan Ahli Lembaga Pengarah dan banyak lagi.

Selain itu, pengalaman luar  dalam  saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membimbing Southampton dan Tottenham berkemungkinan menjadi antara penyebab membuatkan pemilik pasukan, Todd Boehly lebih memilih Pochettino berbanding Julian Nagelsmann dan Luis Enrique.

Meskipun tiada sebarang kejuaraan dihadiahkan Mauricio Pochettino ketika di England, beliau berjaya membawa Tottenham ke perlawanan akhir Piala Liga 2014/15 dan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19.

Beliau turut pernah bergelar ‘Pengurus Terbaik Bulanan EPL’ pada Oktober 2013, September 2015, Februari 2016 dan April 2017.

Selepas lima tahun membimbing kelab tersebut, Pochettino dipecat pada 19 November 2019 dan PSG menjadi destinasi seterusnya buat karier kejurulatihan beliau.

Jodohnya bersama kelab gergasi Perancis itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila berpisah pada Julai 2022 meskipun menghadiahkan tiga piala buat pasukannya.

Sementara itu dalam perkembangan lain menurut sumber Goal, Chelsea dikhabarkan berusaha menawarkan Romelu Lukaku kepada Atletico Madrid sebagai pertukaran untuk mendapatkan Joao Felix secara tetap.

Felix menyertai Chelsea pada jendela perpindahan musim sejuk lalu secara pinjaman.