Tinggal sebulan lagi acara bola sepak Sukan SEA 2019 bakal membuka tirainya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan sedikit masalah untuk mendapatkan khidmat bintang dari Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara bawah 23 tahun (B-23).
Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pasport Malaysia milik Wan Kuzain disahkan telah tamat tempoh dan perlu diperbaharui dengan segara.
Katanya dalam Arena Metro, pemain tengah kelab Sporting Kansas City itu perlu pulang segera ke Malaysia untuk menyelesaikan urusan pasport serta pendaftaran pemain yang mengambil tempoh selama 10 hari.
“Kuzain memang ada pasport Malaysia tetapi pasport itu agak lama, dan pasport itu dah tamat tempoh. Ia memerlukan Kuzain sendiri datang ke Malaysia untuk buat yang baharu. Benda itu memerlukan masa dan Kuzain pun ada komitmen dengan kelab (Sporting Kansas City) dan tidak boleh turun begitu saja dari Amerika sebab perjalanan yang jauh.
“Jadi hanya menunggu masa sesuai untuk datang ke Malaysia dan selebihnya mengenai soal penglibatannya itu terpulang Datuk Ong Kim Swee (jurulatih B-22). Cuma dalam senarai awal 40 pemain nama Kuzain memang ada,” katanya kepada Arena Metro.
Jika Wan Kuzain gagal menyelesaikan urusan tersebut, peminat bola sepak tempatan mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menyaksikan kelibatnya bersama skuad negara bagi memburu pingat emas temasya Sukan SEA.
Kem latihan pusat akan bermula pada 4 November dan mereka dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November.
Saingan peringkat kumpulan bagi acara bola sepak lelaki ini akan bermula dari 25 November sehingga 5 Disember. Aksi separuh akhir pula berlangsung pada 7 Disember sementara penentuan tempat ke-3 dan perlawanan akhir diadakan pada 10 Disember 2019.
Lihat artikel menarik mengenai perkembangan skuad Sukan SEA yang mungkin anda terlepas pandang melalui pautan artikel dibawah.
Ong Kim Swee Daftarkan 8 Pemain Senior Dalam Senarai Awal Skuad Sukan SEA
Skuad Malaysia B-23 Diletakkan Dalam Kategori A Untuk Sukan SEA
Sukan SEA 2019: Malaysia Perlu Biasakan Diri Bermain Di Atas Padang Sintetik