Bekas juara dunia MotoGP, Marc Marquez akan terlepas baki saingan musim ini akibat kecederaan bahu, umum pasukannya, Ducati, pada Khamis.

“Marc perlu menghabiskan masa selama empat minggu dengan lengan yang tidak boleh bergerak langsung sebelum memulakan pemulihan, jadi adalah mustahil untuk memikirkan tentang kembalinya dia ke pertandingan tahun ini,” kata Ducati dalam satu kenyataan.

Marquez, 32, mengalami keretakan dan kecederaan ligamen selepas terbabas pada pusingan pembukaan Grand Prix Indonesia pada awal bulan ini dan menjalani pembedahan di Madrid seminggu kemudian.

Dia telah pun terlepas Grand Prix Australia tetapi kini disahkan tidak akan menyertai tiga perlumbaan terakhir musim ini di Malaysia, Portugal dan Valencia.

Marquez yang emosional telah pun memastikan gelaran juara dunia MotoGP ketujuhnya — dan yang pertama sejak 2019 — dengan baki lima perlumbaan apabila menamatkan saingan di tempat kedua dalam Grand Prix Jepun bulan lepas.

“Ini tidak seharusnya membayangi atau membuatkan kita lupa matlamat besar yang kita capai tahun ini: menjadi Juara Dunia sekali lagi, dan tidak lama lagi kita semua akan meraikannya bersama-sama,” kata Marquez dalam kenyataan Ducati.

Pelumba dari Sepanyol itu mendominasi musim MotoGP, memenangi 11 perlumbaan.

Marquez

Ducati berharap dia dapat membuat kemunculan semula untuk perlumbaan terakhir musim ini di Valencia tetapi berkata bahawa “keutamaan adalah untuk pulih dan kembali cergas 100 peratus untuk musim depan”.

Dia akan digantikan oleh pelumba dari Itali, Michele Pirro, di Malaysia.