Tonggak terbaharu Kedah Darul Aman FC, Manuel Ott, menjadikan faktor kehadiran Nafuzi Zain sebagai tarikan utama untuk memilih bersama skuad Kenari pada musim 2023.
Baca Juga:
- Kedah Bakal Memiliki Fasiliti Lengkap Di Suka Menanti
- RASMI: Bekas Tonggak Tok Gajah, Manuel Hidalgo Kini Milik Kedah Darul Aman
- RASMI: Lee Tuck Sertai Kedah Darul Aman Dengan Kontrak Selama Setahun
Walaupun baharu bekerjasama selama semusim semasa di Terengganu FC, Ott mengagumi cara serta falsafah bola sepak Nafuzi yang menjadikan dia tidak berfikir panjang apabila menerima lamaran untuk ke Kedah.
Tambahnya, penerapan bola sepak moden diamalkan Nafuzi yang banyak mengamalkan corak formasi 4-3-3 adalah sesuai dengan gaya permainannya di bahagian tengah.
“Tidak dinafikan yang saya datang ke Kedah kerana mahu terus bekerja dengan Nafuzi, saya sangat selesa dengan cara serta pendekatannya.
“Apa yang saya suka mengenai beliau adalah mengenai taktikal dan formasi yang digunakan,satu sistem yang memberikan banyak ruang untuk saya tunjukkan kemampuan saya.
“Jika diberikan tempoh yang bersesuaian, saya yakin bersama-sama beliau, Kedah mampu menamatkan penantian kejuaraan yang ditunggu oleh peminat-peminat.
“Namun, perlu diingat sebahagian besar pemain Kedah terdiri daripada muka-muka baharu dan sudah tentu, segalanya mengambil masa untuk kami serasi bersama serta memahami falsafah yang akan diterapkan Nafuzi
“Apa-apapun setakat ini saya sangat gembira berada di Kedah malah berasa sangat dialu-alukan oleh sebahagian besar peminat di sini,” katanya kepada MFL.
Tonggak terbaharu @kda_fc, Manuel Ott, menjadikan faktor kehadiran Nafuzi Zain sebagai tarikan utama untuk memilih bersama skuad Kenari pada musim 2023. @mannyott #LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) January 16, 2023
Bersama Kedah, tahun ini bakal menjadi musim ketiga pemain berusia 31 tahun berkenaan di Liga Malaysia selepas menyertai Melaka United FC (2021) dan Terengganu FC (2022).
Semasa di Melaka, dia berjaya melakukan 6 jaringan dengan 31 penampilan sebelum penampilannya di Terengganu pada musim lalu, memperlihatkan angka jaringan sama berjaya dicatatkan dalam 32 aksi.
Di peringkat antarabangsa, pemain antarabangsa Filipina itu telah mengumpul 57 caps bersama skuad negaranya serta menjaringkan empat gol secara keseluruhan.
Selain itu, Ott turut mengakui Liga Malaysia antara yang terbaik di rantau ASEAN malah sudah jatuh hati dengan suasana negara ini.
“Bukan sahaja suasana kehidupan di sini tetapi mutu Liga Malaysia juga semakin kompetitif dari tahun ke tahun sejak saya bersama dari Melaka pada musim pertama.
“Pemain-pemain muda juga berada di tahap semakin baik dan saya rasa ini sesuatu yang baik untuk bola sepak Malaysia secara khusus terutama dengan perkembangan ditunjukkan di Piala AFF.
“Ada kalanya saya pernah bergurau alangkah baiknya kalau memiliki pasport Malaysia kerana saya selesa dengan segala-galanya di sini,” katanya.