Ketua jurulatih Thailand, Mano Polking memuji aksi dipamerkan anak buahnya yang berjaya menundukkan Malaysia 3-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Mitsubishi 2022 di Stadium Thammasat, malam tadi.
Baca Juga:
- Analisis: Fluiditi Thailand vs Malaysia Yang Gugup
- Thailand vs Malaysia: Changsuek Leburkan Impian Final Harimau Malaya
- Polking Gembira SNBJ Tutup 21,000 Tempat Duduk
Kemenangan hasil jaringan Teerasil Dangda, Bordin Phala dan Adisak Kraisorn itu sekali gus mengesahkan tempat buat Thailand aksi final buat kali ke-10.
Malah, skuad dengan panggilan Gajah Perang (Changsuek) itu pada ketika ini dalam landasan tepat untuk meraih kejuaraan ketujuh dalam saingan Piala AFF.
“Kredit kepada semua pemain di atas kemenangan yang dicatatkan ini. Semua penyokong Thailand mesti berbangga dengan kesemua pemain yang terlibat,” ujar Polking menurut kenyataannya yang dikeluarkan Changsuek.
“Kami datang dengan tujuan yang jelas. Saya tahu bahawa lebih penting daripada mencipta peluang jaringan hari ini adalah dengan tidak mengalami kekalahan.”
“Kami bercakap sebelum perlawanan dimana kami perlu mendapatkan jaringan pantas, memberikan fokus untuk menyumbat banyak gol dan perlu fokus, berdisiplin, tidak dibolosi kerana kami tahu dengan kualiti yang kami ada.”
“Semuanya telah dirancang. Kami mesti mengagumi pemain yang bermain dengan penuh disiplin. Menerima pelan yang dirancangkan dan bermain dengan cukup baik.”
Di sebalik kejayaan manis itu dan turut menguasai permainan, Polking mengakui perlawanan kedua di laman sendiri tersebut lebih sukar buat anak buahnya.
“Ia bukan perlawanan yang mudah kerana Malaysia menambah seorang lagi pemain tengah. Ia membuatkan pemain tengah kami tidak dapat bermain dengan baik seperti aksi pertama.”
“Ia merupakan perlawanan yang lebih mencabar berbanding aksi pertama. Tahniah kepada semua pemain yang mencatatkan kemenangan penting ini,” tambah Mano Polking lagi.