Jaringan tunggal Mohamad Faisal Abdul Halim memberikan sedikit kelebihan buat Malaysia selepas berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Malaysia vs Singapura: Aksi Kemas Bawa Harimau Malaya Ke Separuh Akhir
- Malaysia vs Laos: Harimau Malaya Berkenduri Gol Di Bukit Jalil
- Malaysia vs Laos: Brendan Gan Sedia Diturunkan Sebagai Pertahanan Tengah
Berdepan lawan yang dibarisi pemain dengan kualiti individu baik serta berada di ranking lebih tinggi menyaksikan skuad negara ditekan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Kim Dae Yong.
Skuad kendalian Mano Polking itu menguji gawang Malaysia seawal minit kelima apabila Ekanit Panya melakukan hantaran jauh cantik kepada Teerasil Dangda.
Bagaimanapun, tandukan yang dilakukan peledak berbisa Thailand itu dalam kawasan penalti hanya sedikit melewati palang gol.
Ketika Thailand terus mengawal permainan, Malaysia mengambil kesempatan untuk membuatkan pasukan lawan terkedu buat seketika apabila Faisal Halim berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-11.
Jaringan penting itu hadir ketika pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar melakukan hantaran jauh kepada V. Ruventhiran yang seperti kebiasaan naik ke atas untuk membantu jentera serangan.
Beliau kemudiannya menanduk bola kepada Faisal dalam kawasan penalti bagi membolehkan penjaring terbanyak skuad negara itu menolak masuk bola membolosi celah kaki penjaga gol, Kittipong Phoothawchuek untuk meletakkan skuad negara di hadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Thailand cuba bangkit dengan menggandakan asakan dan mendapat peluang berselang tiga minit kemudian.
Tetapi, tandukan dilakukan Ekanit Panya susulan hantaran jauh daripada Sarach Yooyen ditangkap kemas Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Perlawanan selepas itu menyaksikan jentera pertahanan Malaysia dipaksa bekerja keras berikutan tekanan ‘menggila’ diberikan Thailand dengan mengawal permainan serta ancaman berbahaya dijelmakan.
Bagaimanapun, penyudah kurang berkesan serta disiplin tinggi dipamerkan pemain skuad negara menggagalkan usaha juara enam kali kejohanan itu.
Sebaliknya, anak buah Kim Pan-gon hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-28. Namun, percubaan Quentin Cheng dalam kawasan penalti susulan lorongan baik Faisal Halim sedikit melewati palang gol.
Aksi lebih dramatik ditampilkan pada babak kedua dengan serangan pasukan pelawat serta keputusan pengadil yang nyata tidak disenangi kem skuad negara.
Thailand hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 apabila tandukan Teerasil Dangda selepas menerima hantaran kemas Suphanan Bureerat singgah di tiang gol.
Dae Yong menjadi tumpuan ketika permainan memasuki minit ke-55 selepas tandukan Dominic Tan ketika situasi sepakan percuma yang menerjah gawang dibatalkan kerana pengadil dari Korea Selatan mendakwa kekasaran dilakukan pemain negara terhadap Kittipong.
Situasi itu jelas ditentang hebat kem skuad negara, namun Dae Yong tetap tegas dengan keputusan awal diambilnya untuk menafikan jaringan tersebut.
Syihan Hazmi membuktikan kemampuannya selaku penjaga gol utama negara pada ketika ini apabila beliau cemerlang dalam menafikan tiga percubaan berbahaya dimiliki.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kelebihan tipis buat skuad negara yang akan menghadapi aksi kedua di Stadium Thammasat pada 10 Januari nanti.