Khabar buruk datang dari kem skuad kebangsaan dimana pemain tengah negara, Natxo Insa dilaporkan tidak dapat diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Solomon Islands hari ini.

Baca Juga:

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Natxo dan seorang lagi pemain iaitu Shahrel Fikri tidak menyertai sesi latihan sekaligus berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan pada perlawanan persahabatan pertama.

Natxo kembali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan setelah kali terakhir menyarung jersi Malaysia pada 2018.

Kehadiran bekas pemain Celta Vigo itu nyata memberi rasa teruja kepada peminat dimana peminat bola sepak tanah air sudah lama mahu menyaksikan Natxo membarisi bahagian tengah skuad Harimau Malaya.

Akan tetapi, harapan tersebut hancur berkecai apabila pemain berusia 37 tahun itu mengalami kecederaan sekaligus tidak dapat diturunkan menentang Solomon Islands.

Natxo Insa masih belum pasti sama ada beliau sempat untuk pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan persahabatan kedua menentang Papua New Guinea pada 20 Jun nanti.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Natxo dimana pengendali itu turut memanggil pemain seperti Syamer Kutty Abba, Stuart Wilkin, Nooa Laine dan Lee Tuck.

Bagi menggantikan Shahrel Fikri, Pan-gon mungkin menurunkan Safawi Rasid di posisi tersebut setelah seorang lagi penyerang yang dipanggil, Haqimi Azim turut mengalami kecederaan.