Skuad Malaysia dijadualkan menentang Laos dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok.
Baca Juga:
- Piala AFF 2022: 15,000 Tiket Aksi Malaysia Menentang Laos Sudah Terjual
- Piala AFF 2022: Harimau Malaya Tiada Masalah Berlatih Sebelah ‘Mesin’
- Myanmar vs Malaysia: Harimau Malaya Pulang Dengan Tiga Mata
- Piala AFF 2022: Thailand Mahu Jumpa Harimau Malaya Di Separuh Akhir
Dalam sidang media rasmi hari ini, Ketua jurulatih, Kim Pan-gon memberitahu pasukannya perlu jaring lebih banyak gol untuk berada di kedudukan teratas dalam kumpulan B bagi mengatasi Vietnam yang mencatat kemenangan 6-0 ke atas Laos.
Harimau Malaya sebelum ini hanya mampu menjaringkan 1-0 ketika menentang Myanmar dan Kim Pan-gon mahu pemain lebih agresif memburu lebih banyak gol sambil mengekalkan rekod tanpa bolos.
“Kita sasar untuk menang dan kalau mahu berada di kedudukan teratas dalam kumpulan, kita perlu kejar perbezaan gol juga.
“Ini kerana Vietnam sudah menjaringkan 6 gol [ketika menentang Myanmar] dan kita baru 1 gol. Jadi, ketika ini kurang 5 gol lagi,” katanya.
Beliau turut mengakui jadual padat yang diharungi oleh pemain dalam saingan Piala AFF kali ini memberi banyak cabaran kepada pasukannya untuk memastikan kecergasan dan fizikal di tahap terbaik.
“Jadual perlawanan cukup padat dalam saingan Piala AFF dan ini membuatkan pemain mengalami sedikit kesukaran. Tetapi mereka bersikap profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan.
“Saya mahu pemain memberikan persembahan terbaik dan meraih kemenangan pada malam esok,” jelasnya.
Skuad Harimau Malaya dijangka akan turun beraksi tanpa kelibat tonggak pertahanan, Khuzaimi Piee yang mengalami kecederan serius ketika menentang Myanmar.
Kim Pan-gon menjelaskan pihaknya sedang menunggu laporan perubatan daripada doktor pakar sebelum membuat sebarang keputusan mengenai susunan pemain dalam kesebelasan utama.
“Kami sedang menunggu laporan perubatan mengenai pemain yang cedera dan saya harap semua pemain tidak mengalami kecederaan yang serius dan boleh beraksi dalam perlawanan seterusnya,” ujar Kim Pan-gon.
Selepas bertemu Laos, mereka akan terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang pasukan pilihan, Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.
Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.
Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.