Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyuarakan sokongan kepada Arab Saudi dalam kempen negara itu untuk membida bagi mendapatkan hak tuan rumah Piala Dunia 2034.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, bidaan Arab Saudi ini hadir setahun selepas Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah yang diklasifikasikan sebagai berjaya oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Lantaran itu, Malaysia menyokong Arab Saudi sebagai satu lagi negara Asia yang mampu menyajikan Piala Dunia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002 dan Qatar pada 2022.

“Piala Dunia yang diadakan di Korea Selatan, Jepun dan Qatar amat menakjubkan dan kami yakin Arab Saudi juga mampu menganjurkan kejohanan yang sama,” katanya.

Rabu lalu, Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membida tuan rumah Piala Dunia 2034, sejam selepas badan induk bola sepak dunia FIFA mengeluarkan kenyataan mengenai rancangannya bagi Piala Dunia 2030 dan menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membida bagi 2034.

AFC juga telah menyatakan sokongannya kepada bidaan Piala Dunia Arab Saudi 2034 sejurus selepas ia diumumkan.

“Bidaan itu berhasrat untuk membawa kejohanan bertaraf dunia dan mendapat inspirasi daripada transformasi sosial dan ekonomi Arab Saudi yang berterusan serta keghairahan negara yang berakar umbi dalam bola sepak,” menurut SAFF dalam satu kenyataan.

Arab Saudi dilaporkan tidak senang duduk melihat jiran mereka, Qatar sebelum ini dipuji ramai pihak selepas kejayaan mereka menganjurkan Piala Dunia 2022.

Sebaik kejohanan di Qatar berakhir, Arab Saudi mengikat Cristiano Ronaldo untuk beraksi dalam Liga Pro Saudi, yang pertama daripada kebanjiran pemain bintang yang ditawarkan gaji lumayan untuk bermain di negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia.

Kehadiran ramai bintang besar ke Liga Pro Saudi telah disokong oleh kerajaan dan kerabat diraja negara itu. Ianya dianggap penting dalam usaha menaikkan imej negara itu sebagai calon tuan rumah Piala Dunia 2034.

Sukan menjadi komponen utama agenda reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan mengubah Arab Saudi menjadi hab pelancongan dan perniagaan sambil mengalihkan ekonomi daripada bahan api fosil.

Mereka juga bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA pada Disember ini. Awal tahun ini Arab Saudi disahkan sebagai tuan rumah Piala Asia 2027.