Pasukan negara akan menjalani satu aksi pemanas badan sebelum bertandang ke Indonesia bagi menghadapi perlawanan pertama kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila dijadualkan menentang pasukan kebangsaan Jordan pada 30 Ogos ini.

Perkara ini disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dimana beliau menegaskan badan induk bola sepak negara itu berusaha untuk mendapatkan aksi persahabatan dalam memastikan ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe dapat membentuk skuad terbaik menjelang kempen kelayakan.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: mStar

“Secara umumnya FAM dan Persatuan Bolasepak Jordan sudah bersetuju untuk mengadakan aksi persahabatan itu di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sepatutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam satu aksi persahabatan, tetapi ia terpaksa dibatalkan ekoran kedua-dua pasukan diundi dalam kumpulan yang sama pada kempen kelayakan.

J.Partiban
Aksi Partiban ketika beraksi bersama Perak.

Pada perlawanan menentang Jordan, Cheng Hoe dijangka akan menguji beberapa pemain bagi memantapkan lagi kekuatan pasukan negara. Sebelumnya, bekas pengendali pasukan Kedah ini menyataka tiga pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Brendan Gan dan J.Partiban yang menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan akhir Piala FA 2019 berada dalam radar beliau untuk dipanggil.

Selain UAE dan Indonesia, Harimau Malaya turut diundi bersama dua lagi jaguh Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G untuk kempen kelayakan kali ini.