Pengurus skuad kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam atau yang lebih dikenali dengan panggilan Madame Pang melaungkan kerisauannya menjelang perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Madame Pang, beraksi di Bukit Jalil adalah satu perkara yang sukar kerana puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium akan memberikan tekanan yang tersendiri kepada pemain Thailand.

Madame Pang
Sumber Gambar: Changsuek

“Ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Akan ada tekanan apabila kita berdepan Malaysia di Bukit Jalil kerana 90 ribu penyokong akan hadir ke stadium.

“Thailand belum pernah menewaskan Malaysia di stadium itu jadi kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Oleh kerana peraturan gol di tempat lawan masih digunakan, kita perlu menjaringkan gol di Bukit Jalil.

“Gol di tempat lawan sangat penting untuk dibawa ke perlawanan kedua di Stadium Thammasat nanti,” katanya.

Tambah Nualphan, sasaran utama pasukan ialah mempertahankan trofi yang dimenangi pada edisi 2020 dan beliau sedar ini adalah satu misi yang sangat sukar.

“Saya boleh jamin para pemain akan memberikan yang terbaik dan kami akan memberikan cabaran kepada Malaysia. Ini akan menjadi ujian yang sukar buat Thailand tetapi misi kami masih sama iaitu mempertahankan kejuaraan,” tambahnya.

Kali terakhir Malaysia bertemu Malaysia dalam saingan Piala AFF ialah ketika perlawanan peringkat separuh akhir edisi 2018.

Ketika itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan ketika beraksi pada perlawanan pertama di Bukit Jalil. Ketika perlawanan kedua di Stadium Rajamangala, tuah nyata memihak kepada skuad Harimau Malaya.

Ketika kedudukan 2-2, Thailand mempunyai peluang emas untuk memenangi perlawanan dimana mereka dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung permainan.

Akan tetapi, Adisak Kraisorn yang diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakan tugas dimana sepakan beliau melewati palang gol sekaligus membolehkan Malaysia mara ke perlawanan akhir.

Namun, hasrat Malaysia untuk bergelar juara Piala AFF kali kedua tidak kesampaian apabila tewas di tangan Vietnam dengan keputusan 3-2 secara agregat.