Penyerang muda negara, Luqman Hakim dikhabarkan telah mendapat permit kerja dari kerajaan Iceland sekaligus semakin hampir untuk membuat penampilan pertama dalam aksi kompetifif bersama UMF Njardvík.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad menerusi laman media sosial Twitter dimana Luqman telah mendapat permit kerja dari kerajaan tempatan dan pihak kelab ketika ini sedang menunggu KV Kortrijk untuk menyelesaikan yuran perpindahan secara pinjaman pemain itu.

Sebelum ini, Luqman Hakim tidak boleh diturunkan dalam aksi kompetitif Njardvík ekoran masih belum menerima permit kerja dan beliau banyak terlibat dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Baru-baru ini, Njardvík turun menentang Reykjavíkur dalam satu perlawanan persahabatan tertutup dan Luqman diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih pasukan iaitu Bjarni Jóhannsson dan Hólmar Örn Rúnarsson.

Luqman tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki dimana beliau menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-23. Gol tunggal Luqman bertahan sehingga wisel penamat dan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Sebelumnya, Luqman menjaringkan dua gol ketika Njardvík turun menentang Haukar FC dalam satu aksi persahabatan yang mana pemain itu turut diturunkan dalam kesebelasan utama.

Jaringan pertama hadir apabila bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menyudahkan hantaran daripada rakan sepasukan dengan satu rembatan menewaskan penjaga gol lawan pada separuh masa pertama.

Untuk makluman, Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk selama satu musim dan beliau berazam untuk meraih sebanyak mungkin minit permainan bersama kelab baharunya itu selepas bergelut untuk tampil bersama skuad utama dalam Liga Belgium.