Penyerang muda negara, Luqman Hakim mempunyai sasaran tersendiri bagi mengharungi tahun 2021 bersama kelabnya iaitu KV Kortrijk.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Luqman berkata beliau mahu mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding apa yang diraih pada tahun 2020.
@luqmansham10 tekad lonjak prestasi untuk musim 2021 bersama @kvkofficieel.. pic.twitter.com/kCdKQybytx
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 6, 2021
“Saya mahu mencabar diri saya dimana saya mahu mencapai tahap yang lebih tinggi pada tahun 2021. Saya mahu kerap berada dalam skuad 18 terbaik selain kerap beraksi.
“Kini kecederaan hamstring saya sudah pulih sepenuhnya dimana saya menjalani proses pemulihan yang baik dan mereka (staf perubatan) memberikan bantuan 100 peratus,” kata Luqman.
Pemain berusia 19 tahun ini juga memberikan tanggapan mengenai aksi beliau pada perlawanan persahabatan menentang Royal Excel Mouscron isnin lalu.
“Saya diletakkan dalam kesebelasan utama. Meskipun hanya perlawanan persahabatan, namun saya merasakan saya sedang beraksi dalam perlawanan kompetitif.
“Saya mendapat semula keyakinan saya dan saya berpuas hati dengan penampilan saya kerana telah memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan tersebut.
“Pengendali (Yves Vanderhaeghe) meminta saya untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu ghairah. Beliau menasihatkan agar tidak terlalu memaksa diri kerana risau kecederaan akan berulang.
“Beliau berkata akan ada masa untuk saya bermain asalkan saya memberikan komitmen 100 peratus ketika sesi latihan,” tambah Luqman.
Luqman sebelum ini terpaksa berehat selama sebulan ekoran kecederaan hamstring yang dialami pada Oktober lalu, sehari selepas membuat penampilan pertama bersama skuad senior dalam aksi menentang RSC Anderlecht.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Luqman Hakim di sini: