Berita baik datang dari Belgium apabila penyerang muda pasukan negara, Luqman Hakim berjaya menjaringkan gol untuk skuad B-21 tahun KV Kortrijk baru-baru ini.

Baca Juga:

Menurut perkongsian KV Kortrijk Malaysia di laman media sosial, Luqman menjaringkan gol ketika Kortrijk B-21 tahun menewaskan Excelsior Virton dengan keputusan 2-1 dalam saingan Jupiler Pro League B-21.

Luqman menjaringkan gol pasa minit ke-69 sekaligus menjadi gol kemenangan dimana sebelum itu, rakan sepasukannya iaitu Soubaib Daali menjaringkan gol pertama Kortrijk pada minit ke-55.

Sebelum ini, Luqman Hakim diturunkan dalam kesebelasan utama sekaligus bermain selama 90 minit ketika Kortrijk turun menentang Waasland Beveren dua minggu lalu.

Luqman pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama dalam saingan musim 2022/2023 ialah ketika perlawanan menentang KVC Westerlo pada 22 Ogos lalu.

Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif dari Luqman dimana beliau mula tampil dalam kesebelasan utama secara kerap selain berjaya menjaringkan gol, sekaligus membuktikan kemampuan beliau untuk menjadi senjata utama pasukan.

Sekiranya tampil konsisten bersama skuad B-21 tahun, tidak mustahil pengurus skuad senior, Adnan Custovic akan memanggil pemain berusia 20 tahun itu untuk beraksi bersama skuad utama.

Setakat ini, bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu masih belum membuat sebarang penampilan bersama pasukan senior dalam saingan Jupiler Pro League.

Skuad senior KV Kortrijk baru-baru ini tewas di tangan Anderlecht dengan keputusan 4-1 dan pada perlawanan seterusnya mereka akan bertemu Royal Antwerp di laman sendiri.