Bekas pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique mengakui bahawa beliau berminat untuk menyertai kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dipecat daripada tugasan antarabangsa pada awal Disember lalu.

Jodoh Enrique bersama La Roja berakhir selepas mereka tersingkir di pusingan 16 berikutan kekalahan 0-3 menerusi sepakan penalti di tangan ‘giant killer’, Maghribi.

Susulan dengan itu, Sepanyol kini dibimbing oleh Luis de la Fuente yang sebelum ini bertindak selaku skuad bawah 21 tahun negara tersebut.

Sejak daripada itu, Enrique yang kini berusia 52 tahun masih belum mencari pasukan pengganti dan memberikan bayangan jelas bahawa sedang mencari peluang terbaik untuk meneruskan karier kejurulatihannya bersama kelab EPL.

“Saya mahu pergi ke England untuk bekerja,” ujar Luis Enrique menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Tetapi saya tidak melihat diri saya akan berada dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada bulan Julai kerana saya mahu pergi ke kelab di sana yang boleh melakukan perkara penting dan ia memang sangat sukar.”

“Sejak Piala Dunia berakhir, saya tidak membaca akhbar Sepanyol, saya juga tidak melihat sebarang media sosial. Saya hanya membaca akhbar Inggeris.”

“Anda tidak boleh berpura-pura atau menyukai semua orang atau mengawal apa yang mereka katakan tentang anda.”

“Perkara utama ialah untuk lebih tenang dan menikmati perkara yang anda sukai,” tambah Enrique lagi.

 

 

 

Sumber