Hari ini peminat bola sepak dihidangkan dengan pelancaran logo baru pasukan Melaka FC.

Baca Juga:

Melaka FC merupakan kelab yang baru ditubuhkan untuk mewakili negeri tersebut dalam pertandingan bola sepak domestik.

Ini selepas Melaka United rasminya berkubur, selepas dihalang untuk bertanding dalam Liga Super mahupun Liga Premier pada musim hadapan.

Terbaru, sebuah laman Facebook Melaka FC telah diwujudkan. Dan ianya adalah Facebook rasmi untuk Melaka FC memandangkan akaun Facebook rasmi MUSA turut berkongsi logo baru Melaka FC yang dimuat naik di laman tersebut.

Beberapa bulan lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi mengesahkan pasukan Melaka United akan ditukar nama kepada Melaka FC serta bakal beraksi dalam saingan liga amatur, Liga M3 musim depan.

Sekaligus menepis cadangan untuk menjenamakan semula nama pasukan kepada Harimau Melaka.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini diganti kepada MAFA berkuat kuasa serta merta.

Nur Azmi berkata dalam portal Melakahariini, skuad Melaka FC akan berwajah baharu dalam misi kembali semula ke Liga Super pada tahun 2024, selain layak beraksi di Piala FA musim depan.

Pihaknya juga telah mewujudkan satu akaun khas untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan tanpa sebarang tunggakan.

“Saya mahu fokus dan pastikan pembayaran gaji mengikut masa ditetapkan. Saya akan pastikan jika saya berhutang sekalipun, ia bukanlah hutang kepada pemain kerana perkhidmatan itulah yang paling penting dalam mengembalikan sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negeri ini,” katanya.

Sumber Gambar: MUSA

“Sudah ada beberapa nama, cuma belum pasti sama ada mahu pilih jurulatih tempatan atau import. Kita buat persiapan awal dan mereka dijangka mula berlatih awal bulan depan,” kata Nur Azmi lagi.

Nur Azmi turut optimis bahawa Melaka FC akan kembali semula ke Liga Super pada akhir musim 2024.

Logo Melaka FC dilancarkan

Selepas beberapa bulan diumumkan, akhirnya Melaka FC tampil dengan logo yang dianggap mirip dengan Manchester United.

Dalam kenyataan rasmi MUSA, laman tersebut mengumumkan bahawa Melaka FC sedang mempersiapkan pasukan mereka bagi menghadapi saingan Liga M3.

Peminat rata rata berbelah bagi tentang logo tersebut. Rata rata ramai yang mengecamnya. Menganggap logo itu seperti tangkap muat dan menggunakan template Manchester United.

Ada yang mempersoalkan sama ada di Melaka sudah tidak ada pereka grafik lagi?

Ada juga yang menggunakan nada sinis menyindir rekaan logo tersebut.

Mungkin kerana logo masih terlalu segar dan baharu membuatkan ramai masih kekok menerimanya. Mana tahu lama lama nanti jatuh cinta dengan logo tersebut.

Apa yang paling penting pastinya skuad Melaka FC harus menarik peminat dengan aksi memukau di atas padang selepas ini.

https://twitter.com/izqandarzlqrnn/status/1607624014138322950