Setelah hampir 10 bulan berdiam diri ekoran kegagalan skuad B-16 Tahun negara melayakkan diri ke temasya Piala Dunia B-17 Tahun di Peru, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim akhirnya bersuara dimana beliau menegaskan program tersebut bukanlah satu program yang gagal.
Teong Kim yang pernah menjadi pengendali akademi remaja Bayern Munich 2001 hingga 2013 berkata program NFDP tidak sepatutnya dianggap gagal hanya kerana pasukan negara tidak layak untuk beraksi dalam temasya Piala Dunia B-17 Tahun. Selain itu, setiap program pembangunan yang dijalankan khususnya dalam sukan bola sepak memerlukan masa untuk membuahkan hasil.
“Kegagalan skuad Bawah 16 Tahun yang tidak berjaya mara ke aksi Piala Dunia B-17 Tahun bukan bermakna program ini gagal kerana program hanya baru tiga setengah tahun. Ia merupakan sasaran jangka pendek manakala matlamat sebenar adalah jangka panjang adalah bagi menghasil pemain-pemain yang bagus.
“Kita tidak layak ke Piala Dunia bukan kita gagal. Saya memang tidak bersetuju sebelum ini ada seorang individu di FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menegaskan program ini sudah gagal. Malah dia juga mempertikaikan mengenai perbelanjaan yang banyak. Mana ada program pembangunan yang tidak menggunakan peruntukkan yang banyak kerana ini bukan program negeri, tetapi ia program negara,” katanya menurut laporan mStar.
Lim Teong Kim menjelaskan beberapa pemain daripada program tersebut telah diserap masuk bagi beraksi bersama skuad B-19 tahun negara dan ada diantaranya beraksi dalam saingan Piala Belia dan berjaya menewaskan pasukan yang dibarisi oleh pemain yang lebih senior. Perkara ini turut menunjukkan program NFDP membuahkan hasil.
Pada masa yang sama, bekas pemain Kuala Lumpur dan Hertha Berlin ini tidak bersetuju dengan ketua jurulatih Selangor, B.Stahianathan yang mengkrittik pemilihan ramai pemain muda dalam skuad B-19 tahun negara.
“Banyak perkara yang saya tidak setuju dengannya. Setahu saya pemain-pemain Bawah 21 negeri juga menjalani latihan yang sama dengan AMD pada setiap hari. Hakikat yang perlu diketahui adalah pasukan bawah 21 atau bawah 19 tahun tidak patut kalah dengan pemain-pemain bawah 16 tahun. Ini sesuatu yang serius. Jangan hanya pandai mengkritik kerana mereka ini semua pasukan baharu.
“Sebenarnya sejak perlawanan kelayakan sebelum ini lagi dia menyatakan ketidak puasan mengenai corak permainan. Soalan saya kepadanya “adakah dia tengok semua perlawanan itu (Tajikistan, Jepun dan Thailand). Kalau dia tengok perlawanan itu, dia boleh beritahu saya apa yang tidak betul”.
“Dan satu lagi sebelum ini dia ada beritahu kelab-kelab remaja di Jepun ada 10,000 pemain. Mana dia dapat fakta ini sebab semuanya mengarut,” tegas Teong Kim.
Skuad Malaysia B-15 Juara Kejohanan Antarabangsa CFA Selepas Tewaskan Korea Utara https://t.co/yJ8bL9iW80
— VOCKET FC (@vocketfc) July 22, 2019
Akhir sekali, Lim Teong Kim memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengganggu Program NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Leave AMD alone! Saya berharap badan induk hanya beri tumpuan kepada pasukan-pasukan negeri (remaja) yang tidak terjaga itu,” katanya.
Sebagai rekod, seramai 12 pemain AMD dipanggil menjalani latihan pusat skuad B-19 negara dalam persiapan ke Piala AFF di Vietnam bulan depan, manakala seramai 22 pemain lagi terpilih menyertai Kejuaraan CFA B-15 di China pada 16 Julai lalu.