Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, membayangkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bakal bermula pada April 2024 sehingga April 2025.

Tujuan pendekatan ini diambil ialah kerana MFL merancang untuk mengubah jadual Liga Malaysia selari dengan kalendar pertandingan yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

AFC sebelum ini telah mengumumkan perubahan jadual pertandingan untuk tahun 2023 hingga 2024 yang turut memberi kesan kepada perjalanan liga di semua negara Asia.

“Kita telah mengerakkan perbincangan dengan pasukan dan kita juga telah memaklumkan kepada semua pemegang taruh mengenai inisiatif untuk menggerakkan kalendar musim depan ke bulan April 2024.

“Perkara ini akan diumumkan secara rasmi selepas kita melihat transisi dua musim untuk memastikan liga kita selari dengan liga-liga di rantau Asia dan juga jadual pasukan kebangsaan.

“Ini bukan senang tetapi kami rasa perlu diambil kira pergerakan liga dalam jendela perpindahan, waktu rehat seimbang dengan jadual AFC,” katanya kepada pihak media.

Beliau juga berkata kejohanan dan format Liga Malaysia pada musim depan kekal sama. Kemungkinan Piala FA akan dimainkan secara timbal balik memandangkan jadual liga lebih panjang.

“Kita akan sambung format liga yang sama untuk pastikan kita ada kesinambungan dan tidak berubah setiap musim. Dengan musim yang lebih panjang, mungkin kita akan saksikan format timbal balik dalam saingan Piala FA,” jelasnya.

Perubahan kalendar Liga disarankan agar setiap pasukan dapat menandatangani pemain import berkualiti pada jendela perpindahan yang akan datang.