Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memberi bayangan saingan Liga Malaysia akan diubah mengikut kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mulai tahun 2024.

Baca Juga:

AFC sebelum ini telah mengumumkan perubahan jadual pertandingan untuk tahun 2023 hingga 2024 yang turut memberi kesan kepada perjalanan liga di semua negara Asia.

Jadual baharu itu menyaksikan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC berlangsung pada bulan September 2023 hingga Mei 2024.

Oleh sebab itu, MFL merancang untuk mengubah jadual Liga Malaysia selari dengan kalendar pertandingan yang ditetapkan oleh AFC.

“Kami sedang buat perbincangan dalaman, kemungkinan perubahan musim yang akan bermula pada tahun depan untuk memastikan kalendar bola sepak Malaysia selari dengan kalendar AFC.

“Kami juga akan memastikan jendela perpindahan untuk Liga Malaysia selari dengan jendela perpindahan  Liga Asia dan Liga antarabangsa yang lain.

“Jadi, kemungkinan besar kami akan memastikan anjakan besar musim depan bermula untuk selarikan dengan kalendar AFC. Kami akan dapat buat pengumuman rasmi mengenai tarikh tersebut selepas perbincangan bersama semua pemegang taruh dan kami akan umumkan dalam masa sebulan lagi,” jelas Stuart Ramalingam.

Jika perubahan itu menjadi kenyataan, Liga Malaysia dijangka akan memulakan musim baharu pada bulan Ogos hingga Mei setiap musim seperti liga eropah.

Walaupun setiap negara anggota AFC tidak wajib mengubah format liga masing-masing mengikut kalendar Ogos-Mei, namun ia disarankan agar setiap pasukan dapat menandatangani pemain import berkualiti pada jendela perpindahan yang akan datang.

Stuart juga menjelaskan pihaknya sedang membuat kajian untuk memastikan prestasi pasukan kebangsaan termasuk bawah umur, serta pasukan yang akan bersaing dalam ACL dan Piala AFC berada dalam keadaan yang baik.

“Kami sedang membuat kajian untuk memastikan kalendar kita adalah selari dengan kalendar antarabangsa. Di sini kita juga perlu tahu ada perbezaan dengan kalendar antarabangsa dari segi cuaca dan juga konteks tempatan.

“Kami harap semua transisi telah dilaksanakan dan kalendar kita menjadi kalendar dua musim iaitu daripada tahun 2024 dan akan berakhir 2025,” tambah Stuart.