Nama Fergus Tierney mula menjadi sebutan para peminat bola sepak tempatan apabila beliau menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan Piala AFF B-23.

Baca Juga:

Ketika skuad Harimau Muda ketinggalan 1-0, Tierney muncul wira apabila menyumbat dua gol pada minit ke 54 dan 65 sekaligus menghadiahkan 3 mata pertama untuk negara.

Bagaimanapun, situasi itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Indonesia. Mereka bertindak menyerang laman instagram pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dengan meninggalkan kata-kata kesat  dan lucah di ruang komen.

Kebanyakan mereka berang kerana Tierney didakwa sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti ketika skuad negara rancak mencari jaringan penyamaan.

Malah, mereka juga mengugut untuk ‘report’ laman instagram tersebut dengan tujuan menutup akaun milik pemain itu.

Walaupun pengadil memberikan masa tambahan sebanyak 8 minit, namun Indonesia masih buntu mencari gol penyamaan. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas bertemu Indonesia, skuad Harimau Muda akan menentang Timor-Leste pada Selasa, 22 Ogos 2023 (8.00 malam waktu Thailand).

Kekalahan Indonesia bermakna peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya semakin tipis kerana hanya juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) sahaja akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos.

Aksi penentuan tempat ketiga dan Final akan berlangsung pada 26 Ogos 2023.