Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim kini menjadi calon terbaharu untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Kuala Lumpur bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan.
Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa turut mengesahkan perkembangan itu dalam Stadium Astro dan menjelaskan pihaknya kini sedang berunding dengan bekas pengendali Terengganu FC itu sebelum membuat pengumuman rasmi.
“Kami telah mendapatkan pandangan daripada Irfan. Beliau memiliki pengalaman yang baik dalam saingan liga tempatan sementara kami sedang berbincang untuk mendapatkan khidmatnya,” katanya.
Selain Irfan, bekas jurulatih skuad warga kota pada musim lalu, Fabio Maciel, turut berada dalam radar KLFA bersama beberapa lagi calon jurulatih dari luar negara.
“Pengendali luar negara memiliki kualiti tersendiri tetapi mereka harus menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak di Malaysia. Kami juga sedang meneliti beberapa jurulatih tempatan untuk mengambil alih Kuala Lumpur.” jelasnya.
Musim ini, Kuala Lumpur merupakan pasukan yang paling banyak membuat pertukaran jurulatih. Bermula dengan pelantikan Yusri Che Lah pada awal tahun ini, kemudian ditukar pula dengan pembantu jurulatih, Chong Yee Fatt. Disebabkan prestasi yang kurang memuaskan, Yee Fatt kini direhatkan dan tugasnya diambil alih oleh Rosle Md Derus pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur sudah tersingkir ke Liga Premier musim depan selepas berada di kedudukan tercorot Liga Super dengan 14 mata. Kehadiran Irfan Bakti dilihat menjadi taruhan terbaharu mereka untuk menaikkan kembali pasukan itu ke Liga Super 2021 pada musim depan.