Persatuan Kolektor Jersi Malaysia telah mengadakan pameran jersi dan perjumpaan kolektor-kolektor di bawah satu bumbung dalam Pameran Jersi Kolektor XI edisi ketiga di Malakat Mall, Cyberjaya.
Pameran yang bertujuan mengumpulkan semua kolektor jersi dari seluruh Malaysia itu juga mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mendapat tajaan dari produk wangian, Bliese.
Persatuan yang berdaftar di bawah Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu kini sudah pun mempunyai lebih dari 100 ahli dengan pameran kali ini menyaksikan ianya julung kali diadakan di pusat beli belah.
Menurut Presiden Persatuan Kolektor Jersi, Mohd Izwan, selain dari mengumpulkan kesemua kolektor, pameran ini juga mampu memupuk rasa minat kepada penyokong untuk membeli jersi dan juga barangan cenderahati kelab yang asli.
Pameran bersempena 100 tahun Piala Malaysia ini dirasmikan Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid yang teruja dengan kesungguhan dan minat ditunjukkan para pengumpul jersi pasukan bola sepak tempatan ini.
Antara pengisian khas pameran ini ialah sesi temubual eksklusif bersama penjaga gol legenda, Khairul Azman Mohamad yang menyarung kembali jersi beliau ketika mewakili Malaysia pada kejohanan sulung Piala Tiger yang berlangsung pada tahun 1996 dahulu.
Selain itu, pelbagai jualan cenderahati dan jersi dilakukan oleh pembekal rasmi dengan pameran ini menerima lebih 2,000 pengunjung yang terdiri dari keluarga dan individu yang menggemari jersi.
Izwan yang gembira kerana pameran ini menerima sambutan menggalakkan turut mengumumkan bahawa mereka sudah merancang untuk melakukan acara ini pada tahun hadapan dengan Pulau Pinang dipilih sebagai venue.
Selain pameran dan jualan, acara bola sepak amal antara para kolektor, artis dan pilihan legenda juga turut diadakan pada malam ini di Padang Brainy Bunch, Cyberjaya sebagai tanda persahabatan dan minat mendalam terhadap bola sepak.
Antara pemain yang menyerikan perlawanan ini adalah Nasir Basharudin, Adib Raop dan Zamri Chin manakala Kazaruddin ‘Kazar’ Saisi dan Sharwani Hamad Hadi (Hantu Kak Limah) mewakili artis yang juga merupakan seorang kolektor.