Pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, Kobe Chong sehingga saat ini masih bergelar ejen bebas dan beluam terikat dengan mana-mana pasukan.

Kali terakhir Kobe beraksi secara kompetitif ialah pada bulan September lalu dimana beliau menyarung jersi salah sebuah kelab liga bawahan England iaitu Alvechurch FC.

Beliau menyertai Alvechurch pada bulan Julai dan beraksi bersama kelab itu selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan sekaligus berstatus ejen bebas.

Sebelum ini, salah satu badan yang membantu pemain dari liga bawahan England mencari kelab baharu iaitu Free Agent Showcase memuat naik gambar Kobe yang menunjukkan pemain itu mencari kelab baharu bagi saingan musim 2023/2024.

Kobe kemudiannya membalas ciapan tersebut dengan memasukkan video ketika beliau menjaringkan gol semasa pemain itu menyarung jersi Telford United.

Kobe Chong juga pernah beraksi selama tiga bulan bersama satu lagi kelab bahawan England iaitu Nuneaton Borough.

“Saya memutuskan untuk meninggalkan Nuneaton Borough. Saya sangat menikmati waktu singkat bersama kelab ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada pasukan,” katanya.

Ketika beraksi bersama Telford, Kobe Chong pernah mendapat pujian daripada pengurus pasukan ketika itu iaitu Paul Caden.

Selepas menandatangani kontrak bersama pasukan, Kobe terus diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang Shrewsbury Town.

Meskipun menampilkan prestasi yang baik, namun Telford mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Kobe Chong pada Februari tahun ini.

Sekiranya masih sukar mencari kelab di England ataupun sekitar Eropah, maka Kobe boleh mencuba untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia sekaligus menunjukkan kemampuan sama ada beliau mempunyai kualiti yang diperlukan oleh skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Sekiranya tidak beraksi bersama skuad senior, maka Kobe boleh diuji bersama skuad B-23 Tahun negara kendalian Juan Torres Garrido.