Skuad Harimau Malaya tidak mengendahkan tekanan pada penentuan sepakan penalti apabila berjaya mencatatkan kemenangan 5-3 selepas aksi 90 minit terikat 1-1 pada 48th King’s Cup 2022 yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan berharga itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon menempah aksi final bertemu Tajikistan yang melakar kejutan menundukkan  Trinidad & Tobago, dalam satu lagi aksi sebelum perlawanan ini berlangsung.

Tekanan baik yang dilakukan pemain negara jelas menyukarkan Thailand untuk merencana serangan terutamanya pada babak pertama. Tambahan pula mereka kehilangan pemain kreatif, Chanathip Songkrasin seawal minit ke-14 ekoran kecederaan yang dialaminya.

Situasi tersebut nyata menyukarkan lagi keadaan buat anak buah Mano Polking dan ia memberikan ruang buat jentera tengah Malaysia untuk mengawal keadaan dengan baik.

Arif Aiman Hanapi mengancam kubu Thailand yang dikawal Kampol Phattomattakul pada minit ke-18, bagaimanapun percubaan pemain lincah itu dari luar kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Penyokong tuan rumah terdiam buat seketika apabila kuisan La’Vere Corbin-Ong di kawasan ‘far post’ selepas menerima umpanan menarik daripada Safawi Rasid berjaya menewaskan Kampol pada minit ke-32.

Ketika pemain negara semakin bernafsu untuk menambah jaringan, Thailand mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas.

Namun, percubaan dilakukan Bordin Phala dalam kawasan penalti ketika permainan memasuki minit ke-39, diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Corbin-Ong turut beraksi cemerlang pada perlawanan ini. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Thailand jelas mahu meningkatkan intensiti permainan dengan membawa masuk Suphanat Mueanta, Pathompol Charoe dan Phitiwat Sukjitthammakul bagi memberikan idea baharu dari segi serangan pada awal babak kedua.

Ia juga menyaksikan corak permainan yang nyata 100 peratus perubahan buat pasukan Thailand berbanding pada babak pertama dengan deretan percubaan berbahaya dilancarkan mereka.

Tetapi sebelum itu, Darren Lok terlebih dahulu memberikan tekanan buat kubu Thailand apabila tandukannya selepas menerima hantaran berkualiti daripada Brendan Gan ditepis keluar Kampol.

Selepas itu, Thailand memberikan tekanan yang cukup hebat ke arah pintu gol negara sehingga menjadikan Ahmad Syihan sebagai antara pemain paling sibuk di atas padang pada ketika itu.

Syihan cukup cemerlang dalam menafikan dua percubaan Suphanat ketika situasi satu lawan satu dengan penyerang berusia 20 tahun itu pada minit ke-63 dan 71.

Berselang enam minit kemudian, Syihan menggagalkan pula tandukan dari jarak dekat oleh Suphacai Chaided untuk terus menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Ketika skuad negara hanya menunggu saat untuk meraikan kemenangan, Nur Azam Azih telah diperintahkan keluar padang ekoran kekasaran dilakukannya untuk sepakan percuma buat Thailand.

Sepakan diambil oleh Sumanya Purisai terus mencari Pansa Hemviboom yang bijak menanduk masuk bola bagi jaringan penyamaan untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Ahmad Syihan terus menjadi wira apabila beliau bertindak cemerlang dalam menepis sepakan yang diambil Supachok Sarachart dan kemudiannya Corbin-Ong memastikan skuad Harimau Malaya ke final.

Sepakan penalti

Malaysia

1) Dion Cools – Gol

2) Syafiq Ahmad – Gol

3) Matt Davies – Gol

4) Declan Lambert – Gol

5) Corbin-Ong – Gol

Thailand

1) Pathompol Charoe  – Gol

2) Suphanat Mueanta – Gol

3) Kritsada Kaman – Gol

4) Suphacok Sarachart – Diselamatkan Ahmad Syihan