Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon yakin dengan kemampuan pemain dan menyasarkan untuk jadi juara Pestabola Merdeka 2023 yang turut disertai oleh 3 pasukan iaitu India, Palestin dan Lubnan.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, beliau berharap para penyokong setia Harimau Malaya dapat turun ke stadium beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu.

Pada majlis undian rasmi semalam, Malaysia dijadualkan menentang pasukan di ranking FIFA 99 dunia, India manakala Palestin akan menghadapi Lubnan.

“Kami sedar dimana kedudukan kami dalam ranking FIFA, walaupun telah banyak meningkat tetapi kami masih di tangga ke 136 manakala India di tangga 99.

“Kita akan memantau dan kaji kekuatan India. Mereka beraksi dengan baik ketika pusingan kelayakan Piala Asia 2023 dan menang dalam semua perlawanan. Kami akan buat analisis untuk melakukan persiapan lebih baik,” jelas Kim Pan Gon.

Semua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula pada 13 Oktober. Kemudian pasukan yang menang akan mara ke final manakala pasukan yang kalah bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober.

Para penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkan tiket perlawanan pestabola Merdeka secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my mulai hari ini. 

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

FAM bagaimanapun memperkenalkan Tiket Kombo RM70 yang mana penyokong Harimau Malaya berpeluang untuk membeli tiket bagi kedua-dua Hari Perlawanan (13 dan 17 Oktober 2023) pada satu harga istimewa iaitu RM70 bagi Kategori Terbuka sahaja.

Tiket Kombo RM70 berkenaan akan dijual dalam tempoh terhad bermula 9 Ogos hingga 5 September 2023.

Seterusnya, tiket Kategori Terbuka pada harga normal serta tiket Kategori Grandstand dan Premium pula hanya akan dijual bermula 6 September 2023.